My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 10 November 2016

    Tarikan Pebble Beach Lagun Putrajaya


    SEBAIK teksi membelok masuk ke kawasan taman itu, matanya terpegun melihat keindahan binaan mini Astaka Maghribi yang terletak pada pintu masuk ke Taman Botani di Presint 1, Putrajaya. Chularat Wattanaya, 35, kemudiannya hanya memerhatikan anak lelaki dan perempuannya berlari ke sana ke mari di kawasan taman itu. 

    “Saya sangat teruja dan seronok sepanjang berada di Putrajaya. Hari ini merupakan hari terakhir kami dapat bersiar-siar di kawasan yang cantik dan tenang ini. Saya akan merindui Putrajaya dan pasti akan kembali untuk melawat tempat lain yang tidak sempat dikunjungi,” ujarnya sewaktu ditemui media pada Sesi Lawatan Bersama Media anjuran Putra Perdana Development (PPD) ke Putrajaya baru-baru ini.

    Idea

    Antara lokasi lain yang dilawati Wattanaya ialah Jambatan Seri Wawasan dan Masjid Putra yang lebih dikenali sebagai masjid merah jambu dalam kalangan pelancong asing. Taman Botani Putrajaya itu merupakan sebahagian daripada tarikan ekopelancongan di Putrajaya.

    Ia merupakan taman botani terbesar di Malaysia dengan keluasan 92 hektar. Putrajaya merupakan cetusan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai pusat pemerintahan kerajaan baharu bagi menggantikan Kuala Lumpur yang semakin padat.

    Ia beroperasi pada 1999 sebelum diangkat menjadi Wilayah Persekutuan ketiga negara pada tahun 2001 selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Selain itu, lokasi strategiknya yang terletak di antara pusat bandar raya Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menjadikan Putrajaya mudah diakses warga tempatan dan pelancong asing.

    Seiring masa berlalu, pembangunan di Putrajaya menjadi semakin pesat. Pertambahan binaan monumen tarikan pelancongan serta pusat rekreasi menjadikan Putrajaya kini bukan sekadar pusat pemerintahan kerajaan malah, menjadi salah satu lokasi kunjungan wajib ke Malaysia selain Menara Berkembar Petronas.

    Justeru, peluang untuk mengikuti sesi lawatan tersebut tidak dilepaskan oleh Syukrina Mokhtar, 26. Biarpun bukan kali pertama berkunjung ke Putrajaya yang turut mendapat jolokan bandar dalam taman itu, dia tetap berasa kagum dan teruja.

    “Selama ini, saya rasakan sudah cukup mengenali Putrajaya dan kawasan menarik di dalamnya. Namun, jangkaan saya ternyata meleset.

    Pantai buatan

    "Banyak lokasi menarik yang tidak pernah saya tahu kewujudannya seperti pantai, sudut tinjau dan tarikan yang terdapat di taman sekitar Putrajaya. Sebelum ini saya hanya mengenalinya sebagai pusat pentadbiran dan lokasi beli-belah di Alamanda,” jelasnya yang sedang menanti kehadiran cahaya mata sulung tidak lama lagi.

    Ditanya tentang lokasi yang paling disukainya, Syukrina menjawab Pebble Beach di Kompleks Sukan Air Presint 5. “Saya tahu Putrajaya dilitupi tasik buatan yang luas. Namun, tidak sangka di sini juga terdapat pantai buatan manusia. Walaupun kecil, suasana dan landskapnya yang direka mirip pantai sebenar cukup membangkitkan rasa damai lewat mata memandang,” katanya.

    Pebble Beach merupakan lagun tasik sepanjang 100 meter yang terdapat di Presint 5. Deretan pokok kelapa ditanam pada hamparan pasir yang memutih. Kawasannya yang lapang juga membuatkan air bertiup lembut seolah-olah berada di pantai sebenar.

    Lokasinya yang terletak di Kompleks Sukan Air berhampiran Marina Putrajaya dan Hotel Pullman, satu-satunya hotel bertaraf tujuh bintang di Malaysia, membolehkan pengunjung menikmati pemandangan tasik menghijau yang luas terbentang.

    Menara mewah

    Pada bahagian kiri bersebelahan astaka sukan air pula terdapat menara media yang direka mirip hotel mewah Dubai, Burj al-Arab. Jika selama ini warga kota lebih mengenali Bukit Ampang sebagai destinasi menikmati pemandangan malam yang indah, kini landskap sama juga boleh dinikmati di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

    Tidak hanya berfungsi sebagai pusat persidangan, bangunan yang terletak di atas bukit dan direka berdasarkan bentuk Pending Perak, iaitu reka bentuk kepala tali pinggang pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong itu juga menawarkan pemandangan mengagumkan.

    “Saya suka menikmati pemandangan hijau dan binaan bangunan di sekitar PICC yang memukau. Sambil ditemani bayu lembut, saya dapat melihat dengan jelas pemandangan tasik yang indah, Jambatan Seri Gemilang serta kampus hijau Universiti Harriot Watt Malaysia,” kata Syukrina.

    Hakikatnya, tidak ramai yang mengetahui bahawa PICC juga terbuka kepada orang awam untuk menikmati pemandangan bermandikan cahaya lampu dan bulan pada waktu malam.

    Menjelang tengah hari, rombongan dibawa ke Taman Warisan Pertanian bagi menikmati hidangan tengah hari di Medan Selera Penanggah sebelum dibawa melawat sekitar kawasan kebun dengan menaiki kereta bugi.

    Terdapat lebih 180 jenis pokok di taman itu termasuk buah-buahan dan tanaman. Selain itu, terdapat lebih 1,400 pokok getah daripada 71 klon yang merupakan tanaman asal setempat iaitu Prang Besar sebelum ia dibangunkan menjadi Putrajaya. Malah, di situ juga terdapat beberapa petak sawah padi mini untuk tatapan pengunjung.

    “Taman Warisan Pertanian bersifat pusat pembelajaran amali di tempat terbuka. Pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah akan didedahkan dengan beberapa kaedah pertanian seperti menanam dan menuai padi, menoreh getah serta bercucuk-tanam.

    “Selain itu, pada setiap hujung bulan juga akan diadakan jualan produk hortikultur di Bazar Warisan untuk orang awam,” jelas koordinatornya, Nasihah Md. Jalal Fahmey, 23.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tarikan Pebble Beach Lagun Putrajaya Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top