BAPA pemodenan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatannya sebagai Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta semalam setelah menyandang jawatan itu selama lapan tahun bermula 2008.
Annuar yang berbuat demikian menerusi sepucuk surat menyebut, beliau yang berat hati untuk melepaskan jawatan itu berharap penggantinya dapat memikul tugas tersebut dan seterusnya mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan seperti yang dilakukan oleh negeri-negeri lain.
“Saya sentiasa berkeyakinan, kita mampu mencapai apa yang orang lain capai asalkan anak Kelantan diberi peluang berbuat demikian,” katanya. Annuar turut memuat naik surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Noor di laman sosial Facebook miliknya semalam.
Tinjauan media di Facebook milik Annuar kira-kira pukul 8 malam tadi mendapati, status yang dimuat naik itu telah dikongsi oleh 95 orang dan lebih 100 memberikan komen. Sepanjang menerajui KAFA dalam tempoh lapan tahun, Annuar telah membawa pulang tujuh kejuaraan termasuk gelaran trebel pada tahun 2012.
Media 5 November lalu melaporkan, Annuar mengakui sudah mulai penat menangani pelbagai isu melibatkan The Red Warriors terutama melibatkan soal kewangan. Annuar ketika dihubungi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) memberitahu, peletakan jawatan itu bagi memberikan peluang kepada mereka yang lebih mampu menggalas tanggungjawab tersebut.
“Beri peluang kepada yang lebih mampu demi Kelantan. Saya boleh tumpu tugas di nasional,” katanya. Bagaimanapun Annuar tidak menjelaskan maksud mahu memberikan tumpuan tugas di nasional sama ada merujuk kepada bola sepak atau kerjayanya sebagai ahli politik bagi membantu kerajaan.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affandi Hamzah berkata, beliau masih tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Saya baru sampai dari Kuala Lumpur. Saya belum mendapat apa-apa maklumat. Cuba hubungi Setiausaha Agung, saya minta maaf, saya tidak boleh komen buat masa ini,” katanya. Bagaimanapun, usaha media menghubungi Ismail gagal.
0 comments:
Post a Comment