Seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang menjadi terkenal kerana kepalanya yang terkulai 180 darjah meninggal dunia secara mengejut hanya lapan bulan selepas menjalani pembedahan untuk membetulkan lehernya.
Mahendra Ahirwar yang menghidap penyakit pelik, miopati kongenital, menyebabkan otot lehernya terlalu lemah sehingga kepalanya sentiasa melentok, meninggal dunia selepas makan tengah hari Sabtu lalu. Ibunya, Sumitra, 36, berkata:
"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan pagi itu dan selepas makan tengah hari dia baring menonton televisyen sebelum tiba-tiba meninggal dunia pada jam 3 petang. Kami mempunyai harapan begitu tinggi untuk masa depannya. Dia sendiri juga sudah mula mengimpikan memiliki kedai runcit satu hari nanti dengan bantuan kami.
“ Kini semuanya musnah. Pada hari kejadian, dia bermain pada waktu pagi, makan sarapan, mandi dan selepas makan tengah hari dia berkata mahu menonton televisyen. Saya membuka siaran kartun kegemarannya tetapi tiba-tiba dia batuk dua kali.
“Dia meminta saya menggosok dadanya dan batuk kali ketiga sebelum tiba-tiba mati. Saya menjerit dan menangis memanggil namanya sebelum berlari keluar dan menjerit meminta bantuan. Jiran menghubungi doktor yang sampai 15 minit kemudian tetapi mendapati Mahendra sudah meninggal dunia.
“Hati saya hancur. Saya rebah dan memeluknya, saya tidak mahu melepaskannya.”
Mahendra - yang mempunyai seorang abang, kakak dan adik lelaki - dibakar dalam istiadat pengebumian Hindu keesokannya dalam majlis yang dihadiri 25 rakan dan anggota keluarganya.
Remaja itu menjadi terkenal selepas kisahnya disiarkan tahun lalu menarik perhatian Julie Jones, ibu dua anak dari Liverpool, England, yang berjaya mengumpulkan £12,000 (RM62,600) unruk membolehkan Mahendra menjalani pembedahan.
Sementara itu, Dr Rajagopalan Krishnan yang melakukan pembedahan untuk meluruskan tengkuk Mahendra pada Februari lalu turut menyuarakan rasa terkejut dengan kematian remaja itu.
0 comments:
Post a Comment