Dalam keadaan ini, satu hakikat yang kita perlu terima dan akui ialah manusia secara bersendirian memang tidak mampu untuk memenuhi kehendak yang tidak terbatas. Sebagai manusia, kita memang tidak dapat mengelak daripada berbelanja.
Bagaimanapun, apa yang perlu dinilai dari semasa ke semasa ialah sejauhmanakah corak perbelanjaan kita ke atas barang-barang dan perkhidmatan selaras dengan pendapatan yang diterima?
Pada zaman ledakan media sosial ini, salah satu dorongan yang membuat kita sebagai pengguna begitu teruja untuk berbelanja ialah wujudnya tawaran-tawaran jualan murah (yang belum tentu murah) dan beraneka barangan baik dari dalam atau luar negara yang dibuat oleh para peniaga.
Jika kita berfikir secara rasional, dengan adanya tawaran jualan murah di media sosial, ia sepatutnya dapat membantu kita membuat keputusan pembelian yang lebih berkualiti. Namun, perkara sebaliknya berlaku jika kita tidak bijak menggunakan platform media sosial yang berkembang pesat hari ini.
Tidak ada keperluan
Kenapa kita perlu bertindak balas kepada sesuatu promosi atau jualan murah walaupun pada hakikatnya kita tidak ada keperluan langsung untuk membuat pembelian ke atas barangan tersebut pada ketika itu? Reaksi ini akan menyebabkan kita berbelanja lebih banyak wang daripada yang sepatutnya?
Corak berbelanja seseorang individu juga sebenarnya banyak dipengaruhi oleh daya ketahanan diri individu itu melawan hawa nafsunya. Sesetengah daripada kita tidak dapat menahan diri untuk berbelanja lebih atas alasan mendapatkan kepuasan diri.
Kepuasan diri yang diperoleh akan meningkat sekiranya seseorang itu dapat menjadi pembeli terawal barang-barang atau model-model barangan baharu yang dilancarkan di pasaran. Lebih memburukkan keadaan apabila para pengeluar dan peniaga mengambil kesempatan daripada keadaan ini dengan meletakkan pelbagai paparan iklan yang mempunyai slogan.
Ia seakan-akan memberi satu isyarat kepada pengguna bahawa dengan memiliki barangan itu, dia akan dipandang tinggi dalam kelompok mereka dan mendapat perhatian ramai. Selain daripada berbelanja kerana adanya platform transaksi yang mudah, ramai individu berbuat demikian kerana ingin meniru atau mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain.
Ini terjadi kerana perkembangan terbaharu ini merupakan satu keadaan iaitu manusia tertarik dengan apa yang dilakukan oleh khalayak ramai atau kelompok mereka. Ada juga individu cuba mengikut atau meniru apa yang dibuat oleh kelompok mereka.
Kini masyarakat mula diperkenalkan tentang isu efek ikut-ikutan (bandwagon effect) yang mula merosakkan atau ‘menjangkiti’ pemikiran golongan remaja. Ini kerana, mereka merupakan golongan yang terdedah dengan arus perubahan gaya berpakaian.
Namun, golongan dewasa juga tidak terkecuali daripada menerima kesannya terutamanya dalam kalangan golongan yang mementingkan penampilan diri terkini dan mengamalkan prinsip ‘biar papa asalkan bergaya’.
Di pihak peniaga pula, peniaga offline atau online mengatakan, bandwagon effect merupakan satu pendekatan psikologi untuk melariskan barangan atau perkhidmatan mereka ke atas masyarakat pengguna.
Ikutan
Ini kerana daripada satu pertunjukan fesyen yang dianjurkan oleh pengeluar terkemuka, ia sebenarnya memulakan atau mencipta satu arah aliran yang akan diikuti ramai contohnya hipster dan raver. Bermula daripada satu kumpulan, ia akan ditiru oleh kumpulan-kumpulan lain dan seterusnya masyarakat umum.
Daripada asalnya sebagai aliran setempat, ia akan menular ke peringkat serantau, malah boleh menjangkau menjadi ikutan ke seluruh dunia. Jadi, untuk menjadi sebuah masyarakat yang bijak berbelanja, kita seharusnya kembali kepada pegangan agama. Kita akan mendapati bahawa kita sebenarnya tidak dihalang daripada berbelanja tapi biarlah tidak membazir.
0 comments:
Post a Comment