Malaysia komited untuk terus meneroka potensi perdagangan termasuk menerusi rundingan dua hala bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara ahli Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya perjanjian itu tidak dilaksanakan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini termasuk meninjau peluang dengan negara yang masih belum mempunyai FTA dengan Malaysia iaitu Kanada, Mexico dan Peru.

“Bagaimanapun, sebarang perkembangan atau langkah seterusnya akan dibincangkan sesama ahli TPPA pada sesi mesyuarat menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Lima, Peru minggu depan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan sektor pembuatan aeroangkasa Malaysia di sini, semalam. Terdahulu, Mustapa menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam berkata, Malaysia akan terus memantau rapat perkembangan TPPA di bawah tampuk pemerintahan Presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Jika AS membuat keputusan untuk tidak mengesahkan pembabitannya dalam TPPA, kita akan mengadakan perbincangan dengan negara anggota yang lain bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya.

“Bagi AS saja, KDNK negara itu membentuk 60 peratus daripada jumlah KDNK negara anggota TPPA. Ia bererti, TPPA tidak boleh dikuatkuasakan tanpa penyertaan AS,” katanya. TPPA membabitkan 12 negara iaitu AS, Jepun, Malaysia, Vietnam, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru.
0 comments:
Post a Comment