My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 16 November 2016

    Oscar Sulung Jackie Chan


    Lebih separuh abad mencipta nama dalam dunia perfileman, bintang aksi legenda Hong Kong, Jackie Chan akhirnya menerima trofi Oscar sulungnya pada majlis Anugerah Governors Ke-8, Sabtu lalu. Trofi emas itu disampaikan kepada Chan, 62, oleh pelakon Tom Hanks, Michelle Yeoh dan Chris Tucker pada majlis yang berlangsung di Hollywood and Highland Center, Los Angeles. 

    Menggelarkan anugerah itu sebagai impiannya, pakar seni mempertahan diri ini dalam ucapannya mendedahkan banyak kali patah tulang sepanjang 56 tahun beraksi dalam filem. “Akhirnya, selepas menghasilkan lebih 200 karya, trofi ini menjadi milik saya. Terima kasih Hong Kong, juga tempat kelahiran yang membentuk saya pada hari ini.

    “China, tanah airku. Saya bangga lahir sebagai orang Cina. Terima kasih Hollywood mengajar saya banyak perkara dan juga membuat saya sedikit terkenal. Saya sangat berbesar hati untuk berada di sini,” katanya.

    Karyawan itu turut berkongsi kenangan memegang trofi Oscar ketika melawat kediaman pelakon hebat Sylvester Stallone di Hollywood, 23 tahun lalu. “Saya pegang, cium dan juga hidu trofi itu. Saya percaya, cap jari saya masih ada pada trofi itu. Ketika itu, saya turut menginginkan trofi Oscar. Akhirnya, saya menerima panggilan daripada Presiden Academy Cheryl Boone Isaacs,” katanya. 

    Bintang filem Police Story itu turut menceritakan pengalaman membesar menyaksikan majlis penyampaian Oscar bersama ibu dan bapanya.

    “Setiap tahun, apabila menyaksikan acara itu bersama bapa, dia pasti bertanya bila saya akan menerima anugerah Oscar. Ini kerana saya sudah menerima banyak anugerah perfileman. Namun, saya hanya mampu ketawa dan memberitahu saya cuma menghasilkan filem aksi komedi,” katanya. 

    Diangkat sebagai pelakon Asia tersohor selepas Bruce Lee, nama Chan mula menjadi sebutan ramai berikutan lakonannya dalam filem komedi Snake in the Eagle’s Shadow pada 1978 diikuti Drunken Master pada tahun sama.

    Sepanjang era 1980-an, Chan mengukuhkan namanya dalam dunia lakonan dengan membintangi filem aksi di Hong Kong antaranya Project A (1983) dan Police Story (1985). Dia kemudian mencuba nasib di Amerika Syarikat dan berjaya muncul dalam beberapa filem Box Office seperti Rumble in the Bronx (1996), Rush Hour (1998), Shanghai Noon (2000) dan Shanghai Knights (2003).

    Selain Chan, acara gilang-gemilang itu turut menyaksikan pengarah Lynn Stalmaster, penyunting filem British, Anne Coates dan pendokumen Frederick Wiseman turut menerima anugerah khas atas usaha mereka dalam bidang perfileman.

    Barisan bintang hadir yang turut memeriahkan majlis Anugerah Governors ialah Denzel Washington, Lupita Nyong’o, Nicole Kidman, Emma Stone, Ryan Reynolds, Amy Adams dan Dev Patel.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Oscar Sulung Jackie Chan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top