BARISAN pemain yang akan menggalas cabaran pasukan negara pada kempen Piala AFF Suzuki 2016 tidak begitu meyakinkan. Bukan untuk merendahkan kemampuan para pemain yang dipilih membentuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swe itu, tetapi beberapa pemain yang menjadi pilihan merupakan kumpulan pemain yang kurang menyerlah pada saingan Liga Malaysia.
Mungkin itu antara yang terbaik buat Kim Swee, tetapi bagi para peminat tempatan yang sering mengikuti perkembangan Liga M, mereka lebih mengetahui siapa yang layak berada dalam skuad kebangsaan, tidak kira sama ada pemain terbabit beraksi di Liga Super mahupun Premier.
Namun, keutamaan telah diberikan kepada para pemain yang sering memanaskan bangku simpanan dengan pasukan masing-masing di Liga M manakala yang dilihat menyerlah langsung tidak disenaraikan.
Apa pun, Kim Swee mungkin lebih mengetahui kenapa beliau memilih pemain yang sama untuk menggalas cabaran negara pada kempen Piala AFF Suzuki kali ini atau mungkin pilihan tersebut berdasarkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.
Semalam, jurulatih kelahiran Melaka itu mengumumkan senarai penuh 23 pemain yang akan dibawa ke bumi Myanmar hari ini bagi menghadapi kempen Piala AFF Suzuki dan senarai tersebut menyaksikan tiga pemain yang dianggap ‘regular’ dengan pasukan masing-masing pada saingan Liga M iaitu Nasir Basharuddin, Khuzaimi Piee dan Safawi Rasid digugurkan.
Seperti biasa, alasan mengetepikan pemain terbabit adalah atas faktor kecederaan walaupun mereka antara pemain yang dilihat konsisten dengan pasukan masing-masing sepanjang musim ini. Mengulas mengenai keputusan mengetepikan tiga pemain terbabit, Kim Swee mengakui berdepan kesukaran untuk membuat keputusan.
“Setelah berbincang dengan barisan kejurulatihan, saya memutuskan untuk menyisihkan tiga pemain (iaitu) Nasir, Khuzaimi dan Safawi Rasid dalam senarai 23 pemain yang akan dibawa ke Myanmar.
“Memang ini satu keputusan yang sukar tetapi disebabkan peraturan, saya terpaksa melakukannya dan saya berharap ketiga-tiga pemain ini yang masih lagi terus berusaha untuk mengekalkan prestasi masing-masing.
“Mereka masih muda dan masa depan untuk menyarung jersi skuad negara sangat cerah buat mereka,” kata Kim Swee. Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Kemboja dan Vietnam akan memulakan kempen menentang Kemboja pada 20 November ini.
0 comments:
Post a Comment