Polis berkata seorang lelaki mati dan tujuh cedera dalam pertempuran yang menyusuli tunjuk perasaan mendesak gabenor bandar raya ini ditangkap atas tuduhan menghina Islam, semalam. Jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono berkata, seorang lelaki tua meninggal dunia, mungkin kesan daripada gas pemedih mata yang dilepaskan polis.
Menurutnya lagi, empat orang awam dan tiga anggota polis cedera. Pertempuran berlaku antara polis dan penunjuk perasaan yang enggan bersurai. Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air sementara penunjuk perasaan membakar dua kereta polis dan longgokan sampah yang ditinggalkan penunjuk perasaan.
Kira-kira 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu. Awi berkata, polis bertindak balas selepas penunjuk perasaan berhampiran Istana Presiden melontar batu, kayu dan botol. Pertempuran itu reda selepas seorang pemimpin demonstrasi merayu supaya bertenang.
Stesen televisyen MetroTV melaporkan, seorang penunjuk perasaan cuba memasuki kompleks kediaman Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali dengan panggilan Ahok. Polis bagaimanapun menyekatnya dengan melepaskan gas pemedih mata.
Kerana bimbang keganasan akan meletus, polis mengerahkan 18,000 anggotanya, dibantu oleh anggota tentera bagi mengawal keadaan, sementara kedutaan negara asing dan beberapa kedai menutup premis mereka.
Penunjuk perasaan yang kebanyakkannya berpakaian putih dan berkopiah sebelum itu berkumpul di Masjid Istiqlal untuk menunaikan solat Jumaat sebelum berarak menuju ke Istana Presiden. Tunjuk perasaan besar-besaran juga diadakan di bandar besar lain, termasuk Medan, Sumatra, Makassar di Sulawesi dan Malang di Jawa Timur.
Icuk Sugiarto |
“Dia menghina kitab suci kami kerana itu saya menyertai membantah Ahok,” kata seorang penunjuk perasaan, Zulfikar. Ahok yang terkenal kerana ketegasannya amat popular dalam kalangan sebahagian penduduk bandar raya itu kerana kesungguhannya membersihkan Jakarta - bandar raya yang sesak, tidak tersusun dan tercemar.
0 comments:
Post a Comment