“Hanya sehari untuk meraikan kejayaan Kedah tapi itu tidak jadi masalah kerana fokus utama ketika ini bersama pasukan kebangsaan,” kata pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar.
Kapten Kedah itu akui terpaksa melupakan seketika sambutan meraikan kejayaan Helang Merah menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2016, kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2016, di Yangon, Myanmar, 20 November ini.

“Saya dan beberapa rakan lain dalam pasukan Kedah hanya dapat bersama seketika dalam majlis meraikan kejayaan pasukan menjulang Piala Malaysia, sebelum dikehendaki melaporkan diri bersama skuad kebangsaan.
“Bagaimanapun perkara itu (majlis meraikan kejayaan) tidak menjadi masalah kerana fokus saya ketika ini terarah kepada persiapan bersama pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki.
Tambahan pula, saingan Piala AFF kali ini dijangka lebih sengit berbanding edisi lalu berdasarkan peningkatan prestasi dan cabaran pasukan lain terutama Thailand dan Myanmar,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan bina semangat di sebuah hotel di sini, petang kelmarin.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mengadakan latihan selama tiga hari di Port Dickson dalam usaha memupuk persefahaman selain membina kekuatan baru sebelum menggalas cabaran negara. Pada kejohanan itu, Harimau Malaysia bakal memulakan saingan peringkat kumpulan bertemu Kemboja pada 20 November disusuli berdepan Vietnam (23 November) dan tuan rumah pada 26 November.

Dia yang akan memasuki kali ketiga beraksi di pentas tertinggi rantau ini itu berkata, kejayaan membantu Kedah menjulang kejuaraan Piala Malaysia menjadi pembakar semangatnya untuk berikan aksi lebih baik kepada pasukan kebangsaan.
“Saya akan berusaha lebih gigih dan mengikut setiap arahan jurulatih. Kejayaan membantu Kedah akan saya bawa dalam kem Malaysia kali ini,” kata Baddrol.
0 comments:
Post a Comment