My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 5 November 2016

    Din 'Mayat' Raja Rhythm


    Dia mungkin boleh dianggap sebagai ‘unsung hero’ atau wira yang tidak diberi perhatian. Noordin Mohd Taib, 53, atau Din memang dikenali sebagai pemain gitar kumpulan rock nombor satu negara, Search. 

    Namun, sebagai pemain gitar, populariti Din tidak sehebat Hillary Ang, Man Kidal, Joe Wings, Allahyarham Samad Lefthanded, Rosli Mohalim dan adik kandungnya dalam Search iaitu Kid. Secara kebetulan dalam Search, Din anggota yang paling berat mulut.

    Amat jarang mendengar Din bercakap mewakili Search apabila berdepan media sekali gus membuatkan pemuzik asal Johor Bahru ini agak ‘terpinggir’. Bertemu Din di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini sebenarnya memberi pengalaman berbeza buat penulis.

    Sejak menjadi wartawan hiburan dan ketika diberi tugasan menemu bual Search, penulis belum pernah mendengar Din bercakap! Selalunya yang akan bersuara ialah Amy, Nasir ataupun Yazit tetapi kali ini apabila berdepan dengan Din maka dialah yang kena bercakap! Ternyata, Din bukanlah seorang pendiam seperti yang kita sangka. Selain agak kelakar, kerap juga dia mengeluarkan kenyataan sinis mengenai industri muzik tempatan.

    Boleh tahan juga!

    Hakikatnya, posisi Din sebagai pemain gitar irama atau ‘rhythm’ dilihat kurang menonjol dalam kalangan peminat yang lebih cenderung kepada pemain gitar utama yang memiliki kelebihan menghasilkan ‘solo’ dalam lagu mereka.

    Bagaimanapun, bagi sebahagian besar peminat tegar Search dan muzik rock tempatan, Din yang turut digelar ‘Din Mayat’ dalam kalangan teman rapat adalah antara pemain gitar rhythm terbaik negara khususnya muzik rock. Penyanyi Search, Amy sendiri menggelarnya sebagai ‘King of Rhythm’.

    Realitinya, Din memainkan peranan besar dalam menghasilkan ‘riff’ memukau dan melekat dalam lagu Search sejak album pertama. “Peranan gitar rhythm sangat penting kerana tanpa rhythm, tidak adalah lagu,” katanya.

    Din berkata, peranan pemain gitar rhythm mungkin nampak mudah dan tak penting. Namun, hakikatnya tidak begitu. “Mahu menjadi pemain gitar rhythm yang bagus bukanlah mudah. Anda perlu banyak berlatih mencari tempo dan ‘pattern’ sesuatu muzik itu. Dari situ barulah dapat menghasilkan ‘riff’ yang baik untuk sebuah lagu,” katanya.

    Menurut Din, ramai pemain gitar baru yang ditemui hanya mahu menjadi pemain gitar utama semata-mata nak hasilkan solo memukau. Pada masa sama, mereka lupa peranan gitar rhythm juga amat penting. Dalam muzik rock, gitar rhythm penting dalam penghasilan struktur sebuah lagu. Din berkata, sejak mula menyertai Search pada awal 1980-an, dia lebih selesa bermain gitar rhythm. 

    “Sebenarnya sukar bagi sebuah band jika kedua-dua pemain gitarnya ‘berebut’ nak hasilkan solo paling memukau. Silap haribulan boleh wujudkan konflik,” katanya yang mengagumi pemain gitar seperti Rudolf Schenker dari Scorpions dan Malcolm Young (AC/DC).

    Walaupun tidak memainkan peranan besar ketika merakamkan album sulung Search, Cinta Buatan Malaysia, Din mula membuktikan kemampuannya dalam album Search selepas itu. Dialah yang bertanggungjawab menghasilkan ‘riff’ gitar yang membentuk struktur kebanyakan lagu Search yang kita dengar hingga hari ini.

    “Gubahan kebanyakan lagu Search bermula daripada saya. Saya akan menghasilkan ‘riff’ dan struktur lagu sebelum kami bersama-sama melengkapkannya di studio. “Daripada ‘rangka’ muzik yang saya hasilkan itu, kami akan berbincang dan masing-masing memberikan idea, sekali gus melengkapkannya sebagai sebuah lagu,” katanya yang kini bekerjasama dengan penyanyi baru, Alyd dalam single berjudul Nostalgia.

    Cuba hayati ‘riff’ gitar lagu Search seperti Pasti, Mencari, Derap Komando, Menara Kesesatan, Dunia Milik Kita, Manusia Reptilia dan Paranoid, ‘riff’ daripada Din cukup bermelodi, utuh dan melekat di telinga.

    Menurut Din, kebanyakan gitar solo lagu Search dihasilkan oleh Hillary dan Kid. Namun, dia juga berkemampuan menghasilkan gitar solo seperti dilakukannya dalam lagu Isi Atau Kulit, Langit dan Bumi, Gelora Cintaku, Setelah Hujan, Paranoid, Orait Mama dan Mencari. 

    Dari Hurricane ke Search

    Din dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, sebelum bersama Search, dia mengganggotai sebuah band bernama Hurricane bersama pemain dram, Zahid Ahmad yang juga adik kepada pemain dram Search, Yazit. Bersama impian mahu bergelar pemuzik rock, mereka berhijrah ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru pada awal 1980-an.

    Namun, impian itu gagal apabila mereka tidak bertemu dengan pemuzik yang sesuai. “Waktu itu saya kerap ke kelab Red Rooster di Kuala Lumpur menonton persembahan Search. Hampir setiap malam saya ke sana hingga semua anggota Search pun kenal saya. Kebetulan kami semua dari Johor Bahru dan saya dengan Yazit pernah belajar di sekolah rendah yang sama di Larkin,” katanya.

    Din berkata, Amy yang berjumpa dengannya dan memaklumkan mereka memerlukan seorang lagi pemain gitar. “Waktu itu Search hanya ada seorang pemain gitar iaitu Man Kidal. Saya pun bersetuju tetapi perlu menjalani sesi uji bakat dengan memainkan beberapa lagu Inggeris yang kerap mereka mainkan di kelab itu,” katanya.

    Selepas diterima mengganggotai Search, mereka kemudian bermain di kelab Hard Rock Cafe dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sebelum ditawarkan merakamkan album sulung oleh syarikat rakaman Polygram.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Din 'Mayat' Raja Rhythm Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top