My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 5 November 2016

    Masyarakat Barat Trauma Karakter Badut




    IMEJ lelaki berpakaian warna-warni, muka dipalit cat, bibir besar berwarna merah terang, memakai aksesori ganjil, mimik muka polos dan nakal merupakan figura signatur golongan pelawak yang dipanggil badut. Badut sering diundang untuk memeriahkan acara terutamanya yang dihadiri kanak-kanak. Ini kerana, imej mereka yang melucukan mampu menghadirkan suasana gamat. 

    Kanak-kanak yang ketakutan juga akan lari bertempiaran apabila disergah. Namun, badut ini bijak memikat tumpuan penonton dengan aksi lawak tanpa suara atau silap mata. Maka, tidak hairanlah apabila kehadiran sang badut disambut dengan perasaan teruja dalam kalangan penonton terutamanya dalam acara pentas biarpun identiti sebenar pelakunya tidak diketahui.

    Sinonim dengan watak penghibur itu, dunia digemparkan dengan beberapa siri serangan jalanan yang melibatkan penjenayah bertopengkan badut baru-baru ini. Peningkatan kejadian jenayah yang melibatkan badut memakai topeng seram itu telah mencetuskan situasi trauma dalam kalangan masyarakat. 

    Ia memaksa pihak polis dan sekolah untuk melipatgandakan kawalan keselamatan. Malah, fenomena itu memaksa Rumah Putih di Amerika Syarikat (AS) untuk mempertimbangkan penggubalan atau pindaan dasar yang berkaitan demi keselamatan sejagat. “Sebelum ini, saya lebih selesa pulang pada waktu petang dan bersiar-siar di taman terlebih dulu sebelum pulang ke rumah tetapi kini tidak lagi. 

    “Walaupun saya dilahirkan dan membesar di sini, saya rasa sudah tidak selamat. Badut tidak lagi menjadi pelawak kegemaran saya,” kata Susan Keeney, 16, yang menetap di California, AS. 

    Kekecohan jenayah dengan modus operandi badut menyeramkan itu dipercayai bermula di bahagian Greenville, Carolina Selatan pada bulan Ogos lalu. Pihak polis diminta untuk menyiasat kejadian seorang lelaki berpakaian badut yang menarik sekumpulan kanak-kanak ke dalam hutan.

    Kejadian seumpama itu pernah dilaporkan beberapa kali di negeri-negeri di AS. Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah yang memakai pakaian badut dan berkeliaran di kawasan sekolah atau pusat perniagaan, bersenjata serta merayau-rayau dengan menaiki van aneh di kawasan kejiranan.

    Diserang

    Malah, sebuah sekolah di Ohio terpaksa ditutup atas faktor keselamatan selepas seorang wanita mendakwa diserang oleh seorang badut lelaki yang bersenjata.

    Tidak hanya meletakkan tanggungjawab untuk membanteras kegiatan jenayah itu kepada pihak berkuasa, beratus-ratus orang pelajar di Universiti Negeri Penn, Pennsylvania turut menyertai pencarian badut penjenayah yang dilaporkan sering dilihat berkeliaran mencari mangsa.

    “Badut pada hari ini sangat menyeramkan, tidak seperti dahulu. Saya berasa sedih kerana generasi anak-anak saya mungkin tidak lagi berpeluang merasai pengalaman seronok dihiburkan oleh seorang badut,” luah Jessica James, 35.

    Halloween

    Penggayaan kostum bertemakan badut di negara Barat sering dikaitkan dengan sambutan Halloween pada 31 Oktober setiap tahun. Jutaan kanak-kanak dan remaja akan menggayakan kostum badut serta pergi dari rumah ke rumah untuk melakukan muslihat atau sekadar berkunjung ke rumah rakan. 

    Justeru, kelibat pemakai kostum badut di jalanan tidak menjadi perkara asing kepada masyarakat Barat sehinggalah ia digunakan sebagai topeng dan ‘tiket selamat’ untuk penjenayah melakukan kesalahan di ruang terbuka.

    Malah, pengguna laman sosial juga dilihat aktif melancarkan kempen #IfISeeAClown di Twitter termasuk akaun @SpookyClowns sehingga berjaya mengumpul lebih 186,000 pengikut.

    Sementara itu, seorang pakar sosiologi yang juga merupakan penulis buku The Martians Have Landed: A History of Media-Driven Panics and Hoaxes, Dr. Robert Bartholomew berkata, kekalutan yang menimpa masyarakat terutamanya di Barat adalah kerana mereka menganggap situasi itu sebagai sesuatu yang baharu dan asing. Situasi seperti itu disebut sebagai ketakutan sosial klasik. 

    “Mereka rasa perbuatan jenayah bertopengkan karakter badut adalah sesuatu yang teruk dan tidak dapat diterima. Hakikatnya, kejadian sama pernah berlaku di Perancis pada 2014. Ia juga didorong dan dirancakkan oleh pengaruh media sosial, lakonan palsu (lakonan) serta tipu helah video.

    “Kini, apabila ia berlaku di AS, orang ramai mula memberi perhatian serius. Walhal, ia berlaku dengan lebih ganas di Perancis sehingga memaksa pihak berkuasa menangkap dan menahan remaja yang mengenakan kostum badut menyeramkan di jalanan,” ujarnya.

    Bartholemew juga memberitahu, situasi trauma terhadap badut merupakan ketakutan sosial klasik yang diperbesar-besarkan, kononnya ia boleh mengancam keselamatan orang awam secara umum. 

    Tambahnya, ketakutan sosial mencerminkan kebimbangan dan ketidaktentuan semasa, terutamanya ancaman dari dalam yang ditimbulkan oleh orang yang tidak dikenali serta didorong oleh kebimbangan terhadap pengganas dan pelarian.

    Ahli akademik yang berpangkalan di New Zealand itu berkata, walaupun ketakutan terhadap badut mungkin kelihatan seperti ‘wabak kegilaan dan kebodohan moden’, ia adalah sesuatu yang biasa sebelum ini biarpun tanpa momokan media sosial.

    Berjaga-jaga

    Saran Bartholomew, tindakan berjaga-jaga perlu diambil oleh ahli masyarakat terutamanya terhadap individu mencurigakan. Namun, orang awam juga tidak seharusnya mudah melatah dan menjadi prejudis. Tidak hanya bertumpu di AS, beberapa negara lain di Eropah termasuk Perancis, Austria, Belanda dan Jerman turut diancam konflik jenayah serupa.

    Malah, sebuah taman hiburan di barat daya Jerman, Holiday Park, mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan pengunjung memakai kostum badut bagi menyambut perayaan Halloween di tempat itu.

    Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa memaklumkan kepada agensi berita, dpa bahawa sebanyak 370 insiden melibatkan individu memakai kostum badut seram telah dilaporkan di seluruh negara.

    Dalam perkembangan lain, francais makanan segera terkenal dunia, McDonald turut menyatakan sokongan dengan mengumumkan bahawa kemunculan figura signatur mereka, Ronald McDonald akan dikurangkan di tempat awam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Masyarakat Barat Trauma Karakter Badut Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top