Sebuah premis hiburan baharu yang menawarkan gadis gebu sebagai peneman bukan sahaja menarik ramai pengunjung biasa, malah turut dikunjungi golongan VIP untuk berhibur. Difahamkan, hasil risikan dijalankan polis, premis hiburan di Jalan Loke Yew itu menyediakan pakej eksklusif dengan suasana mewah dan selesa.
Premis berkenaan bagaimanapun diserbu sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Kuala Lumpur jam 1 pagi semalam. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Azman Mohd Isa berkata, pihaknya mengambil masa seminggu untuk melakukan risikan dan perancangan sebelum menyerbu pusat hiburan itu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 49 wanita yang juga pelayan pelanggan (GRO) warga asing berusia antara 24 hingga 35 tahun terdiri daripada 46 warga China dan lima warga Vietnam ditahan.
“Dalam pemeriksaan itu juga polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki sebagai penjaga premis. GRO yang ditahan didapati menyalahgunakan pas lawatan dan permit kerja serta ada yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengerahkan 48 anggota dan pegawai dalam serbuan berkenaan memandangkan premis itu mempunyai keluasan yang agak besar selain turut dikunjungi ramai pelanggan termasuk golongan VIP.
“Ini terbukti ketika serbuan, seramai 190 pelanggan berada di lokasi. Kami memerlukan tindakan yang profesional memandangkan kawasannya luas dan terdapat pelanggan dari golongan VIP,” katanya.
Menurutnya, GRO dan penjaga premis yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 11(7) Peraturan Imigresen.
0 comments:
Post a Comment