Kerajaan Indonesia akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan Filipina bagi mendapatkan maklumat berhubung status mangsa culik oleh kumpulan bersenjata di perairan Malaysia pada Sabtu lepas.
Dua warga Indonesia yang bekerja sebagai juragan kapal nelayan di Malaysia yang diculik itu kini dipercayai berada di Kepulauan Tawi-Tawi, Selatan Filipina yang merupakan pangkalan kumpulan bersenjata berkenaan. Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata, kerajaan Indonesia memantau perkembangan kes culik warganya itu dan sentiasa berhubung dengan kerajaan Malaysia dan Filipina.
“Kita tahu perkara ini amat rumit diatasi, tetapi kita akan terus berusaha membantu dalam mendapatkan maklumat serta perkembangan status kedua-dua mangsa,” katanya.
Setakat ini, pihaknya masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai dua mangsa culik terbaharu itu. Beliau berkata, apa juga perkembangan terbaharu yang diperolehi akan disalurkan kepada pihak keluarga mangsa agar dapat mengurangkan kebimbangan mereka.
“Kerajaan Indonesia telah dimaklumkan bahawa Malaysia dan Filipina akan berusaha membuat rundingan secara terus dengan kumpulan bersenjata Selatan Filipina itu bagi pembebasan mangsa culik,” katanya.
Retno berkata demikian ketika bertemu dengan hampir 100 nelayan warga Indonesia dalam satu perjumpaan khas di jeti nelayan belakang Perpustakaan Sandakan, petang kelmarin.
Pada perjumpaan itu juga, beliau berkesempatan bertemu dengan isteri dua juragan kapal yang diculik pada Sabtu lepas, iaitu Hayati, 47, isteri kepada La Hadi La Edi, 46, dan Suriani, 46, isteri kepada La Utu La Raali, 52.
Beliau berkata mengikut statistik dari bulan Mei hingga November tahun ini sahaja, terdapat tiga kali kes penculikan. Oleh itu, beliau sebagai Menteri Luar telah mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya di Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman pada Isnin di Kuala Lumpur.
Kelmarin, Retno juga bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Tiur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bagi membincangkan perkara itu.
“Saya juga mencapaikan hasrat kerajaan Indonesia dan kebimbangan saya terhadap warga Indonesia berhubung keselamatan mereka ketika turun ke laut,” katanya.
Beliau juga telah meminta kerajaan Malaysia dan pasukan keselamatan Malaysia agar meningkatkan kawalan keselamatan di perairan mereka. “Kerajaan Malaysia juga terutama di Sabah telah memberitahu kita bahawa mereka juga melahirkan kebimbangan yang sama dan memberi jaminan akan meningkatkan keamanan serta kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah,” katanya.
Sepanjang tahun ini sahaja, katanya, seramai 27 warga Indonesia telah menjadi mangsa penculikan kumpulan bersenjata. Pihaknya juga meminta kerajaan Malaysia dan Filipina supaya memandang serius kes penculikan agar ia tidak berulang.
Beliau berkata pada bulan Mei lalu, tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina telah mengadakan perjumpaan bagi membahas isu penculikan itu dan mengatur jalinan kerjasama antara tiga pihak bagi memastikan perairan masing-masing selamat sekaligus tidak menjejaskan ekonomi rakyat tiga negara berkenaan.
“Kita telah berbincang dengan pihak ESSCom dalam beberapa aspek keselamatan nelayan termasuk meningkatkan komunikasi dan pemasangan alat pengesan kedudukan kapal dalam satu usaha menangani isu penculikan,” katanya.
Retno juga mahu pihak pengusaha kapal nelayan di Malaysia lebih bertanggungjawab dalam aspek keselamatan pekerja terutamanya warga Indonesia dan tidak lepas tangan mengenai perkara itu.
“Pada 23 November ini akan diadakan pertemuan bagi Menteri-Menteri Pertahanan tiga negara ini untuk meningkatkan kerjasama berhubung keselamatan,” katanya. Sabtu lepas, dua juragan warga Indonesia diculik di perairan Kertam, kira-kira 15 batu nautika dari Sungai Kinabatangan.
Mereka diculik oleh lima lelaki bersenjata dipercayai berpangkalan di Kepulauan Tawi-Tawi, Selatan Filipina.
0 comments:
Post a Comment