“Kalau saya dipenjarakan, saya mohon diberi peluang dan diizinkan menemui anak lelaki terlebih dulu. Saya menyesal dan perbuatan itu dilakukan tanpa sedar,” rintih Norzamini Roslan, 26, yang menangis teresak-esak di kandang mahkamah ketika merayu pengurangan hukuman.
Semalam, ibu tunggal itu dan kekasihnya, Mohamad Emirul Rajap, 31, masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menerima rasuah dengan menyamar sebagai anggota polis narkotik.
Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian selepas pasangan itu mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan awal, Norzamini didakwa meminta wang RM14,000 daripada seorang wanita dengan menyamar sebagai anggota polis Jabatan Narkotik Petaling Jaya bagi menurunkan jumlah berat ganja yang dihantar ke Jabatan Kimia dan menukarkan seksyen kesalahan dadah di sekitar Tanjung Karang, Kuala Selangor, jam 10.30 malam, 31 Oktober lalu.
Bagi dua pertuduhan berikutnya, ibu tunggal itu secara rasuah menerima RM2,000 dan RM3,000 yang dimasukkan ke dalam satu akaun bank untuk tujuan sama di dua bank berasingan di sekitar Petaling Jaya, jam 8.08 malam dan 9.14 malam, 1 November lalu.
Manakala Mohamad Emirul pula didakwa turut menerima rasuah RM1,000 dan RM3,000 menerusi akaun bank sama di dua bank berasingan di Sungai Buloh dan Petaling Jaya, masing-masing pada jam 2 pagi dan 12 tengah hari tarikh sama.
Justeru, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Mohammed Heikal Ismail manakala pasangan itu tidak diwakili peguam. Terdahulu, Norzamini dalam rayuannya berkata, dia yang berpisah dengan bekas suami sejak beberapa tahun lalu memohon kebenaran untuk menemui anak lelakinya berusia enam tahun jika dipenjarakan.
Manakala Mohamad Emirul yang juga bekas posmen dan masih bujang merayu pengurangan hukuman kerana menghidap asma dan mempunyai tanggungan ibu bapa yang sudah berusia.
Mohd Asnawi bagaimanapun memohon hukuman setimpal berikutan perbuatan tertuduh membabitkan penyamaran sebagai penjawat awam sekali gus mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain hukuman penjara, Asmadi turut memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing membayar denda RM95,000 dan RM25,000 bagi semua pertuduhan itu. “Jika gagal membayarnya, mereka dikenakan penjara tambahan selama 15 bulan dan enam bulan. Selain itu, mereka dikenakan penalti tambahan RM5,000 dan RM4,000,” katanya.
0 comments:
Post a Comment