Beratus-ratus ribu orang keluar ke jalan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) untuk membantah kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden dengan beliau dikecam sebagai taksub dan rasis.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan bahawa orang ramai daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang agama dan kewarganegaraan berkumpul di lokasi mercu tanda di New York, Chicago, Philadelphia, Boston, California, Colorado, Seattle dan bandar-bandar lain kerana membantah Trump.
Demonstrasi besar-besaran itu berlaku tidak sampai sehari selepas beliau menewaskan Hillary Clinton, 69, dalam pilihan raya Presiden AS. Kumpulan penunjuk perasaan berarak di jalan dan lebuh raya di antara pergerakan lalu lintas sambil membawa sepanduk meluahkan kemarahan mereka terhadap Trump.
Sepanduk itu tertera slogan seperti “Tiada Lagi Kebencian” dan “Trump Bukan Presiden kami”. Di New York, penunjuk perasaan berarak menuju ke Fifth Avenue yang menempatkan ibu pejabat kempen Trump, Menara Trump.
Semua jalan raya di sekitar menara itu ditutup sepenuhnya berikutan demonstrasi tersebut. Seorang wanita berdarah Amerika-Latin, Kelly Lopez berkata, dia sedih kerana Trump, 70, akan menjadi Presiden AS yang seterusnya.
Katanya, Trump tidak layak untuk berkata bahawa beliau ialah pemimpin kepada semua rakyat AS selepas bersikap rasis, taksub, fasis, menghina wanita dan minoriti lain semasa berkempen. “Sepanjang kempen politik kamu, kamu hanya menjatuhkan orang lain. Kamu tidak akan berubah dalam sekelip mata,” katanya.
Seorang pelajar Afrika-Amerika, Elaz Iben pula berkata, dia akur bahawa Trump akan menjadi Presiden AS untuk tempoh empat tahun akan datang dan menghormati institusi Presiden. “Namun, saya juga menghormati hak saya untuk mengadakan demonstrasi,” ujarnya.
Tunjuk perasaan di New York dan kawasan lain di negara itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan dikenali sebagai Alternatif Sosialis. Kumpulan tersebut turut menggesa berjuta-juta penduduk AS supaya keluar menunjuk perasaan untuk menentang Trump.
0 comments:
Post a Comment