My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 4 November 2016

    Kek Basah Penyambung Kehidupan



    Pada zaman kemelesetan ekonomi ini, sering terdengar keluhan daripada rakan susahnya hendak mencari rezeki. Bagaimana payahnya membawa diri terutama bagi yang sudah berkeluarga. Kebanyakannya berasa tiada lagi yang mudah kerana semuanya perlu bersaing dengan begitu ramai peniaga lain. 

    Semuanya mencari perkara yang sama, menjual produk ataupun perniagaan serupa. Memang kasihan mendengar rintihan mereka yang mengalami masalah kerjaya, tempat kerja menamatkan perkhidmatan, bank dan kilang menghentikan operasi atau tiada siapa ke kedai mereka lagi.

    Semuanya kerana masalah ekonomi, kata mereka. Benarkah kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi dengan keadaan ini? Haruskah kita menuding jari kepada kerajaan dan meminta mereka segera memulihkan masalah kewangan negara yang meruncing ini? Kita mengharap nasib menyebelahi kita tanpa berbuat apa-apa?

    Petang yang redup di medan selera Bentayan, Muar, kami menikmati sate, nasi ayam berlada dan nasi goreng cili padi. Nampak seorang lelaki menggendong beg plastik biru, bergerak dari meja ke meja. Lagaknya seperti penjual CD atau majalah saja. Atau meminta derma? Rupanya tidak. Dia menjual kek coklat basah dua perasa. Perasa coklat dan taburan keju.

    Dari meja ke meja dia bertanya sama ada mereka mahu membeli atau tidak. Ada yang menggeleng, ada menunjukkan wajah tidak suka dan ada yang bertanya harga. Dari situ ada yang membeli dan ada yang tidak jadi. Dia tidak putus asa. Terus menjelajah dari meja ke meja dan nampaknya rezekinya ada. Ramai yang mula membeli, termasuk penulis! Bijak, fikir penulis.

    Dalam keadaan serba meruncing sekarang, lelaki ini membawa pendekatan berbeza. Dia berani dan tidak malu. Paling penting, di hujung hari, dia mendapat untung. Sudah rezeki, penulis dapat bertemu insan ini, Wan Aziz A Samad, 33. Walaupun mengejar masa mencari rezeki dan azan Maghrib sudah berkumandang, dia meluangkan sedikit masa bercerita mengenai produknya.

    Dari situlah kami berkenalan. Kami kemudian dijemput ke rumahnya di Sungai Rambai, Melaka, sempadan antara Melaka-Muar untuk mengetahui lebih lanjut ceritanya dan isteri yang bagi penulis sangat memberi inspirasi.

    Inspirasi kepada kita yang sering putus asa dalam mencari rezeki kerana pasangan ini sudah membuktikan, sekiranya berusaha dan bekerja keras, insya-Allah, pasti membuahkan hasil.

    Bekas pengurus restoran makanan segera

    Di sebuah rumah teres sederhana, Mufidah Jamil, 30, yang berasal dari Arau, Perlis menyambut kami dengan senyum mesra. Melihat rumahnya yang begitu kemas dan rapi sukar percaya dia mempunyai anak kecil berusia empat tahun dan setahun 10 bulan. Namun itulah buktinya Mufidah sangat bersistematik dalam apa yang dibuatnya.

    Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu apabila mengambil keputusan berhenti kerja, tidak ditentang ahli keluarganya malah mereka menyokong dan menyuruhnya berniaga. Pasangan ini rupa-rupanya bekas pengurus restoran makanan segera. Itu antara kelebihan yang ada pada mereka iaitu pengalaman di bahagian perkhidmatan.

    Seorang bertugas di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Batu Pahat, Johor. Jodoh mempertemukan mereka ketika program syarikat. Selepas berkahwin dan kerana tidak dapat bertukar, itulah penyebab Mufidah berhenti. Dia kemudian menumpukan perhatian membesarkan anak.

    “Memang apabila berhenti kerja pada 2011, rasa janggal sebab saya sudah biasa bekerja. Lima tahun hanya tumpukan perhatian pada rumah tangga dan anak. Tak terfikir sebenarnya untuk berniaga tetapi kemudian semuanya berubah,” katanya.

    Pada September 2015, Mufidah terfikir untuk membuat sesuatu bagi menambah pendapatan. Suaminya juga sudah berhenti kerja. Justeru, bermulalah percubaan satu persatu produk. Mereka pernah mencuba membuat kerepek, kacang dan tiramisu namun semuanya tidak kekal.

    “Kemudian daripada resipi kakak, saya mula membuat kek coklat basah dan menyasarkan tempahan majlis tetapi pada awalnya, tak nampak pula ada permintaan,” katanya.

    Perjalanan Mufidah dan Wan Aziz bukanlah semudah disangka. Mereka juga melalui pasang surut semangat seperti orang lain juga tetapi yang pasti mereka tidak mudah mengalah.

    “Pada mulanya hendak memasarkan kek jenama Aisyah Sofeeya Cakes & Cookies, kami mencuba pelbagai cara. Semuanya tidak menampakkan hasil segera. Kami cuba secara dalam talian, pun tiada sambutan sangat, begitu juga dengan meletakkan kek di kios. Tak laku!

    “Mulalah rasa putus asa. Kemudian, suami tanya saya, kalau dia nak jualkan kek itu dari rumah ke rumah, bagaimana? Saya tanya, tak malukah? Dia balas, tidak!” katanya.

    Lalu, Wan Aziz pun membawa kek buatan isterinya untuk dijual dari rumah ke rumah. Beberapa jam kemudian dia pulang dan memberitahu isterinya dapat menjual kira-kira 100 bekas! Tentu saja Mufidah terkejut. Dari situ Mufidah dan Wan Aziz menyedari, sekiranya pelanggan tidak datang kepada mereka, merekalah yang perlu pergi kepada pelanggan!

    Mereka tidak menoleh ke belakang dan terus menggunakan cara demikian bagi memasarkan produk. Kini, jualan sudah menjangkau 150 bekas sehari dan meningkat sekali ganda sekiranya cuti umum. Walaupun ada yang mengatakan perniagaan mereka ini masih kecil, bagi penulis, ia sangat membanggakan.

    Apabila produk mula sampai kepada pelanggan, perkara yang lain juga dipermudahkan. Aisyah Sofeeya Cakes & Cookies yang enak mula mendapat tempat secara dalam talian dan di majlis keraian sebagai cenderahati.

    Produk mereka berharga RM1, RM3.50 dan RM4.50 bergantung kepada saiz dan perasa. Mufidah dan suami kini merancang memperbaiki pembalutan produk, begitu juga promosinya supaya lebih ramai dapat menikmati kek mereka.

    Fokus pada produk

    Buat masa ini, mereka tidak merancang menambah produk lain. Apabila fokus pada dua produk terbabit, ia lebih terjaga dan mudah.

    “Saya mula memasak setiap hari selepas Subuh dan persiapan dibuat pada waktu malam. Saya memang sentiasa membuat perancangan rapi terutama penyediaannya. Untuk proses memasak saja mengambil masa kira-kira lima jam. Jadi, buat masa ini, kami perlu tumpukan perhatian pada produk sedia ada supaya kualiti terjaga,” katanya.

    Mengakui pihak yang mahu melemahkan semangat memang ramai tetapi Mufidah tidak memikirkan itu semua sebaliknya rasa menyesal kerana tidak bermula lebih awal. Dia rasa betapa seronoknya berniaga. Dengan perniagaan beroperasi di rumah sendiri, dia masih dapat menjaga rumah tangga dan anak membesar di hadapan mata.

    “Apabila tengok pendekatan suami itu berjaya, ia memberi semangat kepada saya. Orang lelaki memang lebih kuat semangat daripada kita. Walaupun tahu dia menghadapi cabarannya sendiri, dia anggap biasa saja. Dia masih boleh tidur dengan nyenyak.

    "Kadang-kadang dia balik bercerita bermacam pengalaman bertemu orang, ada yang lucu, geram dan banyak lagi. Tetapi dia anggap seperti angin lalu saja dan tak jadikan ia tekanan. Dia seronok dengan kerja yang dibuatnya kerana hasilnya, kami dapat jualan. Biarlah orang hendak kata apa pun, yang penting kami cari rezeki yang halal,” katanya.

    Bertanyakan Wan Aziz bagaimana dia mengatasi rasa malu berjumpa orang untuk menjual keknya, dia akui semangatnya sendiri kuat bagi menjayakan usaha mereka. “Saya memang suka berjumpa orang sebab dah biasa di bidang perkhidmatan lagipun latar belakang keluarga sendiri yang semuanya berniaga. Saya pernah menjual sayur keliling kampung. Arwah bapa juga menjual ikan dengan bermotosikal.

    “Bagi saya kita jangan menyalahkan orang lain atau keadaan sekiranya kita tidak dapat menyara keluarga. Kita yang perlu berusaha. Ekonomi elok atau tidak, kita tetap perlu menyara diri dan keluarga jadi kenalah kuat berusaha,” katanya.

    Ini dipersetujui oleh isterinya. Dia sering menggalakkan kawannya berniaga dan tidak lokek berkongsi tip mahu pun resipi. Padanya, rezeki Allah amat luas. Apa yang dilakukan oleh Wan Aziz memang luar biasa.

    Dia tidak menunggu di kios atau mana-mana sudut untuk orang datang membeli produknya. Dia sendiri yang pergi dan menjual kepada orang yang ditemuinya. Rezeki pasti ada apabila kita berusaha.

    Tip daripada Mufidah dan Wan Aziz

    1. Berniagalah.
    2. Sudah tiba masanya kita jangan menunggu pelanggan. Kita yang bertemu pelanggan.
    3. Untuk berjaya, malu perlu diatasi.
    4. Apabila ada pendapatan, rezeki yang ada boleh menjamin masa depan dan berkongsi dengan ibu bapa.
    5. Apa sekalipun keadaan ekonomi, bukan alasan kita untuk tidak bekerja keras.
    6. Jangan fokus pada terlalu banyak produk.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kek Basah Penyambung Kehidupan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top