My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 7 November 2016

    Kesan Emosi Pasangan


    Apabila memperkatakan topik kanser, ramai antara kita cenderung untuk memberi tumpuan kepada pesakit saja dan kebanyakan sering terlupa mengenai insan penting di belakang pesakit itu. Dalam kes kanser payudara, insan berkenaan ialah pasangan pesakit. 

    Menerima hakikat isteri yang disahkan penghidap kanser payudara bukan mudah, malah selain pesakit itu sendiri, suami turut menerima kesan yang sama dari segi emosi dan mental.

    Bukan sesuatu yang mudah untuk menjaga pesakit yang berhadapan dengan penyakit serius kerana penjaga ini perlu menguruskan pelbagai aspek seperti keperluan fizikal, pengangkutan, kewangan, tugas yang ditinggalkan dan tidak kurang penting, menjaga emosi pesakit. Akibat bebanan yang tinggi ini, seseorang penjaga pesakit kanser boleh mengalami tekanan dan jika tidak ditangani dengan betul, ia akan memberi kesan kepada pesakit.

    Tidak dapat dinafikan beban yang ditanggung oleh penjaga pesakit kanser ini adalah besar sehingga ada yang mengalami tekanan dari pelbagai aspek. Ada yang perlu mengorbankan masa mereka untuk pesakit kanser, tidak kurang juga yang terpaksa mengambil cuti, berhenti kerja dan mengeluarkan kos perbelanjaan bagi membantu pesakit.

    Penjaga pesakit kanser ini kadangkala boleh menjadi lebih tertekan daripada pesakit kanser sendiri. Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court Dr Daniel Zainal Abdul Rahman berkata, apabila kanser menyerang, perlu diingati pesakit ialah sebahagian daripada rangkaian, justeru apa saja yang berlaku kepada pesakit akan memberi kesan kepada pasangan begitu juga sebaliknya.

    Ini kerana katanya, kanser payudara bukan hanya isu wanita, ia memberi kesan kepada keluarga utama dan juga akan memberi kesan kepada keluarga terdekat, rakan dan teman sekerja. “Apabila kanser menyerang, keseluruhan sistem keluarga akan berubah kerana peranan ahli keluarga juga berubah termasuk perubahan dalam fungsi harian.

    “Antara perkara yang menjadi perhatian termasuk kebimbangan pasangan, emosi yang terbabit kerana berdepan pasangan yang menghidap kanser juga adalah perjalanan sangat beremosi, pilihan rawatan yang ada serta tumpuan kepada pengurusan tekanan.

    “Perkara pertama yang terpaksa dihadapi pasangan ialah perasaan tidak berdaya kerana kehidupan sudah di luar kawalan atau jangkaan selepas mengetahui mengenai penyakit dihidapi selain mula berperasaan kehidupan sudah berubah. Ada juga yang mungkin berperasangka terhadap Tuhan kerana nasib yang menimpa mereka.

    “Perasaan ketidakupayaaan amat memberi tekanan kepada mereka kerana sebagai manusia kita mempunyai rasa untuk mengawal keadaan hidup, perasaan untuk berasa selamat baik suami atau pasangannya. “Justeru apabila suami melihat isteri melalui kehidupan dengan kanser, ada kemungkinan mereka berasakan pelbagai emosi dan tidak terkecuali perasaan marah,” katanya. 

    Perasaan marah pula katanya disebabkan pelbagai sebab antaranya kemarahan mengenai kenapa isteri mereka mendapat kanser, kemarahan disebabkan tidak lagi boleh mengawal kehidupan mereka kerana berpandangan kawalan sudah diserahkan kepada doktor yang merawat isteri mereka dan juga mungkin disebabkan kenyataan mungkin isteri tidak dapat berfungsi seperti biasa.

    Menurutnya, perasaan bersalah juga mungkin menjadi perkara yang menyelubungi suami dan mungkin diperbesarkan disebabkan anggapan mereka tidak dapat melindungi isteri. “Pastinya perkara yang menjadi kebimbangan hingga meninggalkan kesan emosi kepada suami iaitu persoalan seperti adakah kanser boleh diubati, adakah ia boleh berulang jika sudah sembuh?

    “Pada masa sama, mereka perlu berdepan soalan atau pertanyaan mengenai pilihan rawatan yang ada selain menerima hakikat mereka perlu memegang tanggungjawab besar berseorangan yang selama ini dipikul bersama isteri ketika sihat.

    “Lebih memberatkan tekanan emosi suami apabila tiba saat melihat isteri menderita kesakitan, melihat kesan kanser dan juga melihat kesan rawatan pada fizikal dan mental isteri.

    “Sama ada suami suka atau tidak, kehidupan perlu berubah dan mereka sentiasa berasakan perlu ada perubahan dalam rutin harian serta jadual, kehidupan pula menjadi lebih sibuk kerana perlu mengimbangi antara kerja dan temu janji rawatan isteri,” katanya.

    Menurut Dr Daniel, tumpuan yang perlu diberikan kepada isteri dalam berjuang melawan kanser juga memberi kesan sama ada terhadap kerjaya. Justeru katanya, suami yang perlu menjaga isteri yang menghidap kanser mungkin menganggap perasaan mereka tidak penting, tetapi hakikatnya perasaan dan kebajikan mereka sama penting dengan pesakit yang dijaga.

    Berikut beberapa panduan kepada pasangan sebagai penjaga pesakit kanser dalam usaha mengurangkan beban dan mempunyai masa yang lebih berkualiti untuk diri sendiri:

    1. Cari jalan supaya anda dapat mengurangkan tekanan perasaan seperti bercakap mengenai masalah anda kepada orang yang boleh dipercayai atau mencari waktu untuk bersendirian daripada memikirkan soal kanser. Kadangkala berdiam diri dan bersendiri boleh melegakan perasaan.

    2. Cari masa untuk diri anda berasa selesa setiap hari. Contohnya setiap hari, luangkan masa untuk membuat pekerjaan ataupun aktiviti lain yang disukai walaupun kecil. Aktiviti ini mungkin senaman ringan, meditasi, relaks dan banyak lagi aktiviti yang boleh membuat anda berasa lega.

    3. Ikut serta kumpulan sokongan yang terdiri daripada mereka yang senasib dengan anda. Anda berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan bertanya soalan kepada ahli kumpulan sokongan ini.

    4. Jika perasaan anda terlalu tertekan sehingga menjejaskan diri, tidak boleh tidur, terlalu risau dan gagal mengurus diri anda, jangan berlengah berjumpa kauselor, pakar psikiatri ataupun ahli psikologi. Berjumpa ahli agama yang dapat menasihati anda dari sudut agama dan ketuhanan.

    5. Jika pesakit kanser itu pasangan, inilah masanya anda cuba meningkatkan hubungan baik, kasih sayang dan keakraban. Anggaplah penyakit yang dihidapi oleh orang yang anda sayangi inilah sebenarnya sebab untuk anda menjadi lebih rapat dan lebih menyayanginya. Bersama-sama mengingati saat indah dalam kehidupan, saat bahagia sejak disatukan, dan bagaimana anda berdua saling bantu membantu dalam mengharungi cabaran lalu.

    6. Mencari perkara positif yang diperolehi melalui tanggungjawab anda sebagai penjaga kepada seorang penghidap kanser. Setiap hari perlu fikir perkara positif dan kebaikan yang anda perolehi.

    7. Jangan membiarkan diri anda dalam keadaan serius sepanjang masa. Ketawa dan berjenaka boleh mengurangkan tekanan.

    8. Pemakanan yang baik juga dapat mengurangkan tekanan begitu juga melakukan senaman untuk melancarkan aliran darah sekali gus dapat meningkatkan kesihatan diri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kesan Emosi Pasangan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top