Malaysia adalah sebuah negara yang cukup unik samada dari segi komposisi kaum mahupun cara mereka mengamalkan politik. Uniknya, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang sentiasa berbicara tentang politik tanpa mengira apa musim sekalipun, walaupun berada diluar musim pilihan raya.
Lebih menarik lagi, Malaysia juga melahirkan terlalu banyak "pakar" yang dizahirkan menerusi applikasi Facebook dan Whatsapp. Lihat sahaja apa yang berlaku sewaktu krisis minyak masak yang sedang hangat diperkatakan hari ini. Masing-masing mengemukakan teori masing-masing, kononnya mereka mewakili suara rakyat yang cukup-cukup tertekan.

Disinilah munculnya persoalan, adakah mereka tahu atau tidak perbezaan keperluan hidup dan gaya hidup? Jika berbicara tentang keperluan hidup, kelompok inilah yang cuba menjadi hero dalam media sosial yang mahu menunjukkan betapa deritanya rakyat bawahan dengan kenaikan kos harga barang hari ini.
Masing-masing dengan pantas menunding jari kepada pihak kerajaan kononnya kerajaanlah punca kenaikan harga barangan asas hari ini. Mereka langsung tidak memperdulikan hakikat bahawa kerajaan tidak pernah membuat apa-apa perniagaan daripada barang keperluan asas ini.

Mari kita lihat bagaimana "deritanya" rakyat Malaysia dengan kenaikan harga barangan asas ini. Setiap kali munculnya iklan "Year End Sale" atau jualan murah, kompleks membeli belah seperti Sogo, Mid Valley, Bukit Bintang, Lot 10 dan sebagainya diserbu oleh rakyat Malaysia yang menderita ini.
Ini belum lagi iklan gajet terbaru di pasaran sehinggakan ada yang sanggup beratur panjang hanya semata-mata mahu menjadi orang pertama yang memiliki gajet yang berharga tidak kurang daripada RM 3,000. Lihat pula deretan restoran makanan segera atau berasaskan masakan Jepun seperti sushi dan sebagainya.
Walaupun restoran ini mengenakan cas cukai GST, mereka masih memenuhi setiap ruang yang ada di restoran berkenaan. Adakah ini lambang penderitaan rakyat Malaysia disaat semua barang keperluan meningkat? Adakah ini lambang kesusahan rakyat Malaysia yang menderita untuk mengeluarkan lebihan belanja tidak lebih RM 20 sebulan namun mampu membeli gajet berharga RM 3,000?

Namun, apabila sebuah telefon pintar dilancarkan dengan harga RM 3,000 seunit, tanpa banyak bunyi, mereka terus membeli tanpa sedikitpun dakwa dakwi. Malah, jika ada jualan murah, mereka akan war-warkan betapa murahnya harga baju, seluar, bag tangan dan sebagainya di laman sosial milik mereka.
Nampaknya, rakyat Malaysia tidak mahu keegoan gaya hidup mereka dikorbankan untuk memenuhi keperluan hidup. Inilah mentaliti rakyat Malaysia terutamanya mereka yang mendiami kawasan bandar. Bak kata Allahyarham Mr Os, biar papa, asal bergaya.
0 comments:
Post a Comment