Atlet tinju kebanggaan Asia, Manny Pacquiao berjaya merangkul semula kejuaraan Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) kategori welterweight buat kali ketiga dalam kariernya selepas bangkit menewaskan Jesse Vargas dalam pertembungan yang berlangsung di Thomas & Mack Center di sini semalam.
Jaguh berusia 37 tahun itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan Vargas dengan menggunakan kepantasan tangannya untuk menghadiahkan kemenangan di hadapan 16,132 penonton termasuk peninju terkemuka dunia, Floyd Mayweather.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Taktikal dan perancangan saya berjaya iaitu kekal fokus pada setiap pusingan untuk menundukkan Vargas,” katanya yang telah merekodkan 59 kemenangan dan enam kekalahan sepanjang karier.
Bagaimanapun, hasrat atlet kelahiran Filipina itu untuk mencatat keputusan knockout (KO) pertama dalam tempoh tujuh tahun tidak berjaya kerana dia memenangi saingan dengan kiraan mata 118-109.
Sebagai rekod, gelaran WBO kategori welterweight pertama yang diraih oleh Pacquiao adalah pada 2010 ketika menewaskan Miguel Cotto, namun tewas kepada Timothy Bradley (2012).
Namun, dendamnya ke atas Bradley berjaya dilunaskan apabila merampas kembali gelaran tersebut pada tahun 2014 sebelum ditewaskan oleh Mayweather yang digelar pertarungan ‘termahal dalam sejarah’ tahun lepas.
“Benar saya mengajak Mayweather untuk hadir menyaksikan perlawanan malam ini (semalam). Mungkin perlawanan ulangan antara saya dan Mayweather dapat dilakukan pada masa akan datang,” jelasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment