Semakin hari semakin hangat diperkatakan tentang perhimpunan BERSIH 5 yang bakal diadakan pada 19 November ini. Walaupun pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melarang sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka, namun Maria secara terang-terangan tetap berdegil untuk mengadakan perhimpunan itu seperti yang dijadualkan.
Melihat akan hal ini, timbul pertanyaan, adakah Maria mendapat layanan yang cukup istimewa sehinggakan dia langsung tidak diambil sebarang tindakan atas kedegilannya? Bukankah secara jelas dia telah melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan sewaktu mengumumkan untuk menganjurkan BERSIH 5, September lalu?
Sebelum ini, Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunus dilihat antara "selebriti" tetap pihak polis akibat beberapa insiden yang dilihat seperti mengancam keselamatan. Malah, beliau juga pernah digari hanya kerana kenyataan palsu yang dikeluarkan di laman sosial Facebook peribadinya berhubung kenyataan "parang terbangnya".
Namun begitu, Maria yang pada sidang medianya sebelum ini, langsung tidak ditahan oleh pihak berkuasa berhubung kenyataannya yang mahu melihat kerajaan yang ada pada hari ini dijatuhkan menerusi BERSIH 5. Adakah kenyataan seumpama ini langsung tidak merbahaya kepada pihak berkuasa?
Jika dilihat kepada tindak tanduk BERSIH sejak penganjuran siri demo BERSIH pada 2007, tindakan pendakwaan terhadap penganjur demo ini dilihat cukup perlahan. Bayangkan, kesalahan demo BERSIH 3 hanya baru diputuskan baru-baru ini sedangkan kesalahan yang dilakukan semasa BERSIH 4, sehingga kini masih belum diselesaikan.
Ditambah pula Maria hanya didakwa menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012, ianya menjadikan Maria semakin hari semakin besar kepala sehingga berani mengancam kestabilan dan sistem demokrasi negara. Berbaloikah dengan denda tidak sampai RM 2,000 untuk kerosakan yang mereka lakukan terhadap ekonomi dan imej negara?
Jika di negara lain, tindakan biadab seumpama ini bakal dikenakan hukuman berat bagi mengajar mereka erti penyesalan. Namun di Malaysia, apa yang menyedihkan, mereka yang terang-terangan mengacancam keselamatan dan merosakkan imej negara, hanya dikenakan denda yang tidak masuk akal?
Dalam hal ini, sepatutnya pihak berkuasa menahan dan mendakwa Maria serta semua pengajunr BERSIH sebelum mereka melakukan lebih kerosakan. Maria dan kuncu-kuncunya patut didakwa di bawah SOSMA, sama seperti pengganas yang mengancam keselamatan negara. Ini kerana, Maria dan BERSIH sendiri secara jelas dan nyata memang berhajat mahu merosakkan imej negara menerusi himpunan seumpama ini.
Penahanan dan pendakwaan Maria menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 jelas tidak sesuai lagi kepada Maria kerana beliau tidak pernah sedar akan kesilapannya. Usah hanya bertindak pada satu pihak sedangkan satu pihak lagi secara terang-terangan mencabar kedaulatan negara. Ini penting untuk mengajar pengkhianat negara ini erti menghargai Kedaulatan Undang-Undang Negara.
0 comments:
Post a Comment