Bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini mencukupi hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) secara besar-besaran bermula 1 November lepas.
Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz A. Rahim berkata, pemeriksaan itu melibatkan semua peringkat bermula dari tempat pembungkusan, pemborongan hingga ke peruncitan. “Hasil pemeriksaan yang dibuat dari 1 hingga 3 November lepas, kita telah memeriksa sebanyak 479 premis di seluruh Sarawak melibatkan semua peringkat dari pembungkusan, pemborongan dan peruncitan.
“Sepanjang pemeriksaan dalam tempoh tersebut, kita dapati masih ada sebanyak 246,118 kilogram (kg) stok semasa minyak masak bersubsidi di pasaran, manakala keseluruhan stok semasa di peringkat pengilangan dan pembungkusan adalah sebanyak 201.32 metrik tan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pemeriksaan ke atas sebuah kilang pembungkusan minyak masak yang terletak di Jalan Pending di sini, semalam. Bagi memastikan bekalan minyak masak di pasaran mencukupi, katanya, pihak KPDNKK mengambil beberapa langkah dengan membuat pemeriksaan secara mengejut ke atas premis pembungkusan, pasar raya serta kedai runcit.
Langkah kedua pula ialah membuat pemantauan dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti kastam bagi menghalang cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke keluar negara menerusi sempadan, katanya.
“Secara keseluruhannya, bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran Sarawak adalah mencukupi setakat ini dan kita tidak menerima sebarang laporan berhubung cubaan untuk menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke negara lain.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita akan menutup mata sebaliknya akan terus membuat pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan bekalan semasa minyak masak bersubsidi di Sarawak sentiasa mencukupi,” tegasnya.
Hafidz turut menasihatkan serta memberi amaran kepada pihak industri supaya tidak menggunakan minyak masak bersubsidi bagi tujuan industri. Pada masa sama, beliau memberikan amaran kepada peniaga makanan supaya tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak masak untuk menaikkan harga makanan mereka.
Dalam pada itu, katanya, mereka yang didapati cuba menyorok atau menyeludup minyak masak bersubsidi ke luar negara akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan perseorangan dan denda RM3 juta atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya. Bagi kesalahan syarikat atau badan korporat pula boleh dikenakan denda RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
0 comments:
Post a Comment