Ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan jika berkunjung ke daerah Tambunan, ‘The Switzerland of the East’, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman.
Beliau berkata sudah tentu pengalaman berkunjung ke daerah ini akan lebih menarik kerana daerah ini juga kaya dengan pelbagai adat dan budaya masyarakat Dusun yang hidup penuh muhibah dan harmoni bersama-sama masyarakat berbilang suku kaum, agama dan budaya.
“Semua ini dengan sendirinya telah menjelaskan tema tahun melawat Tambunan 2017 (VTBN2017), ‘Amazing Experience’,” katanya ketika berucap melancarkan VTBN2017 di Dataran Pisompuruan, di sini, malam Rabu lepas.
Katanya pelancaran VTBN2017 merupakan satu langkah yang terbaik dan tepat pada masanya kerana daerah ini bukan sahaja pesat membangun dengan pelbagai kemajuan tetapi juga sangat terkenal dengan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.
Menurut beliau daerah ini yang terletak di bahagian pedalaman yang memiliki khazanah semula jadi tidak ternilai seperti Hutan Hujan Tropika dan banyak tempat menarik seperti Gunung Trus Madi, Air Terjun Mahua serta pelbagai jenis flora dan fauna. Musa berkata bidang pelancongan dan kebudayaan terus berkembang dengan pesat di negeri ini dan ia termasuklah pelancongan kesihatan, pendidikan dan sebagainya.
Namun, katanya, tarikan utama pelancong adalah destinasi yang menarik dan bersejarah serta adat dan budaya sesebuah tempat dan masyarakat. “Atas faktor itulah, kerajaan negeri terus komited dalam memperpergiatkan serta memajukan sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi negeri.
“Melalui Koridor Pembangunan Sabah (SDC) misalnya, kita telah memberikan tumpuan kepada sektor-sektor utama termasuk sektor pelancongan untuk mencapai peningkatan ekonomi yang jitu dan mampan,” katanya.
Untuk itu, katanya, amat penting semua pihak terus menggembleng usaha dan tenaga bagi memacu kemajuan sektor pelancongan negeri dan mempromosikan Sabah di peringkat serantau dan antarabangsa.
Musa berkata walaupun terdapat beberapa kebimbangan dalam kalangan pelancong seperti penularan wabak penyakit di beberapa negara, namun sektor pelancongan negeri terus menunjukkan perkembangan yang positif kerana kerajaan mempunyai destinasi pilihan yang menarik dan tidak hanya tertumpu di sesuatu daerah atau kawasan sahaja.
Dalam memastikan pembangunan sektor pelancongan secara lestari, katanya, setiap daripada rakyat memainkan peranan penting untuk menjaga dan memelihara keindahan alam semula jadi di kawasan masing-masing.
“Di samping tugas dan tanggungjawab jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk mengawal selia tempat-tempat pelancongan itu, kita juga bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan dan keindahan tempat-tempat tumpuan pelancong bagi menjaga imej baik negeri dan negara kita yang terkenal sebagai ‘syurga pelancongan’.
“Saya juga suka menekankan khususnya kepada para pemain industri untuk mengamalkan pembangunan pelancongan yang seimbang. Jangan kita hanya mementingkan aktiviti perniagaan pelancongan dan mengaut keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira faktor keseimbangan antara pembangunan pelancongan dengan penjagaan kualiti alam sekitar,” katanya.
Lebih 5,000 orang termasuk Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Radin Malleh.
Menteri Perkhidmatan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid; Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan; Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Siringan Gubat; Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman; dan Pegawai Daerah Thomas Logijin turut hadir.
0 comments:
Post a Comment