Sejarah dan budaya sentiasa menjadi pengaruh besar dalam tamadun manusia. Dua perkara ini juga menjadi antara tanda aras kepada kemajuan sesuatu kaum atau masyarakat itu. Bukan sekadar kemajuan teknologi, kemewahan sejarah dan budaya ini diguna pakai dalam hampir semua perkara membabitkan kehidupan manusia.
Bagi dunia fesyen misalnya, sejarah dan budaya banyak mempengaruhi rekaan atau trend popular sama ada di pentas peragaan mahupun gaya jalanan. Pada masa sama, sejarah dan budaya dalam fesyen ini juga memperlihatkan betapa berkuasa atau megahnya sesuatu jenama itu kala dipaparkan dalam kalangan peminat fesyen global.
Salvatore Ferragamo antara label fesyen dunia yang mengangkat sejarah serta budaya ini dalam majoriti koleksinya. Rumah fesyen dari Itali ini tidak jemu memaparkan keindahan dan kemeriahan budaya serta sejarah jenamanya dalam himpunan istimewa yang lazimnya memperlihatkan kepuasan dalam menjalani kehidupan harian.
Untuk koleksi musim ini, impak joie-de-vivre (keseronokan kehidupan) terus menjadi tema utama apabila Ferragamo cuba menggabungkan nilai malar segar dengan aspek kehidupan penuh bergaya. Imej kempennya pula menonjolkan semangat si pengembara dunia yang menikmati kehidupan mengikut kehendak dan keperluannya.
Helaian ringkas seperti skirt dan blaus diberi sentuhan mewah menerusi hasil kerja tangan yang halus buatannya. Mainan rona sekali lagi diperkenalkan bagi cetusan moden, selain potongan ringkas untuk penampilan yang lebih santai.
Untuk padanan lelaki, jaket berstruktur dihasilkan lalu dilengkapi dengan celana warna senada. Aksesori pula banyak terarah kepada koleksi beg tangan, beg genggam dan beg komputer riba, selain sepatu bertumit serta but kulit.
0 comments:
Post a Comment