Genre seram boleh dianggap paling laris pada masa ini dan mungkin disebabkan alasan ini, ada banyak filem bercita-cita tinggi dilabel sebagai karya seram walaupun hakikatnya ia jauh daripada realiti. Sumpahan sama turut terpalit pada filem ini dan tidak mustahil ia turut menjadi pilihan penggemar yang akhirnya mungkin berasa kecewa.
Seawal babak, penonton disajikan dengan watak Lucy yang menjengkelkan kemudian diperkenalkan pula dengan watak Tess, juga mempunyai perwatakan hampir sama. Dari situ, penonton dapat lihat usaha gigih pengarah cuba membentuk karakter yang ada sisi negatif, suka buat masalah tapi pendiam.
Tidak pasti pula apakah pembentukan karakter itu akan lebih baik jika pengarah tidak tonjolkan sisi seorang remaja yang menjengkelkan tapi masih sensitif dan cuba bersikap tenang. Penceritaan asas mengenai gadis remaja yang dirasuk roh gadis lain tapi rasanya tanpa sebarang ‘spoiler’, penonton sudah dapat agak siapa yang rasuk siapa.
Jika anda harapkan ia filem yang penuh dengan elemen rasukan, mengerikan, perabot bergerak atau terbang sana sini, baik lupakan saja. Jujurnya, peletakan plot dan penceritaan Anguish sangat perlahan mengenai bagaimana ibu cuba berdepan dengan situasi tapi si gadis pula langsung tidak menunjukkan sebarang keterujaan pada situasi yang berlaku padanya.
Alasannya mudah. Jika berlaku kes rasukan di sebuah pekan kecil, takkan situasi itu tidak memberi sebarang reaksi kepada sesiapa pun bukan? Jadi, asasnya tiada apa pun yang mengujakan berlaku sepanjang plot berkembang.
Sekadar kisah dua gadis menjengkelkan, dua ibu yang juga mempunyai sikap hampir sama dan beberapa drama mengenai kenapa ia harus jadi seperti itu sampailah filem tamat. Pun begitu, filem ini masih ada tarikannya.
Antaranya pada lagu runut bunyi yang menarik, lakonan watak utama, suasana seram dan satu babak apabila ada unsur ghaib untuk beri sedikit keterujaan kepada penonton, itu saja. Walaupun babak itu langsung tak masuk dek akal dan kelihatan tidak sepadan dengan babak sebelum ini.
Jika sekadar mahu menonton untuk buang masa, silakan atau jika anda menghargai pembikin filem seram indie (bebas), mungkin ia wajar diberi peluang.
INFO FILEM: Anguish
ARAHAN: Sonny Mallhi
PELAKON: Ryan Simpkins, Annika Marks, Karina Logue
GENRE: Seram
TAYANGAN: 10 November 2016
0 comments:
Post a Comment