Tiga tandukan yang dilakukan pemain England membolehkan mereka menang 3-0 ketika bertemu musuh tradisi Scotland pada kempen kelayakan Piala Dunia di Wembley. Tandukan Daniel Sturridge pada babak pertama dan kaedah serupa yang dilakukan Adam Lallana serta Gary Cahill memastikan England muncul pemenang sekali gus menerajui Kumpulan F.
Bagaimanapun, England tidak menang mudah dan kubu mereka juga hampir dibolosi. Keputusan itu ternyata melegakan pengurus sementara Gareth Southgate dan meningkatkan peluangnya untuk menjawat jawatan berkenaan secara tetap. Selepas anak buahnya mengumpul 10 mata hasil empat perlawanan, dua mata mengatasi pencabar terdekat Slovenia.

Sementara itu, masa depan rakan sejawatannya di Scotland Gordon Strachan pula semakin pudar apabila kekalahan itu meletakkan anak buahnya di tangga kedua terbawah dengan hanya empat mata. Begitupun, beliau enggan membicarakan soal masa depannya ketika ini.
“Jika anda anggap saya sedang memikirkan masa depan saya ketika ini, anda pastinya belum mengenali siapa saya yang sebenar,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.
Strachan membuat beberapa perubahan ke atas pasukannya yang tewas di tangan Slovakia pada perlawanan sebelum ini dan rencananya itu berjaya membuatkan England tidak selesa.

Selepas berjaya memecahkan kebuntuan, England hampir membenarkan pelawat menyamakan kedudukan tetapi tandukan pertahanan Scotland Grant Hanley sekadar melewati palang. Bagaimanapun, Lallana berjaya menanduk masuk gol kedua England hasil hantaran lintang Danny Rose sebelum hantaran Wayne Rooney berjaya disambut Cahill untuk gol ketiga.
0 comments:
Post a Comment