Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump mula membentuk kerangka peralihan kuasa kelmarin sebelum mengambil alih jawatan di White House pada 20 Januari tahun hadapan. Beliau telah melantik barisan penasihat paling setia sepanjang kempen pilihan raya Presiden termasuk tiga anaknya untuk membantu strategi sebelum masuk ke White House.
Trump melantik Naib Presidennya, Mike Pence untuk mengetuai pasukan peralihan kuasa presiden selain menyertakan anak perempuannya, Ivanka, 35, dua anak lelaki, Eric, 32, dan Donald Jr., 38, serta menantunya, Jared Kushner, 35.
Mereka akan mengisi empat daripada 16 anggota jawatankuasa eksekutif White House yang turut terdiri daripada ahli politik dan penasihat bilionair itu. Kumpulan pembantu tersebut berkumpul di Menara Trump di Bandar Raya New York untuk memulakan proses perubahan polisi dan mempertimbangkan calon-calon untuk membentuk Kabinet baharu.
Dijangka sejumlah 4,000 jawatan akan diisi oleh Trump sejurus beliau mengambil alih pemerintahan di White House. Seorang anggota pasukan peralihan kuasa Trump memberitahu Reuters, lebih 100 orang kini terlibat dalam membangunkan ‘kertas putih’ berkaitan dasar yang akan dilaksanakan selepas 20 Januari nanti.
Trump ketika kempennya berjanji mahu memotong cukai, mengetatkan sistem imigresen dan memansuhkan program penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare. Bagaimanapun, dalam temu bual dengan Wall Street Journal dan CBS ‘60 Minutes’ kelmarin, beliau berkata akan mengekalkan beberapa program Obamacare tersebut.
Sementara itu, bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), James Woolsey yang menjadi penasihat Trump untuk hal ehwal luar negara berkata, beberapa janji kempen Trump memerlukan penilaian semula termasuk ikrarnya untuk membina tembok di sempadan Mexico.
Woolsey memberitahu CNN bahawa keselamatan sempadan mungkin akan dicapai dengan penggabungan antara pagar dan tembok. “Saya tidak fikir kita harus menarik balik kata-kata kita berkaitan perbezaan antara tembok dan pagar. Mungkin pagar lebih murah tetapi perlukan yang berkualiti,” katanya.
Trump yang merupakan seorang jutawan hartanah juga melepaskan empayar perniagaannya kelmarin untuk dikendalikan oleh tiga anaknya yang sudah dewasa.
0 comments:
Post a Comment