Selain tontonan percuma menerusi laman perkongsian video YouTube, terdapat pelbagai aplikasi televisyen internet serata dunia yang menawarkan perkhidmatan sama pada kadar harga berbeza, namun tetap menjadi pilihan pengguna sofistikated.
Antara aplikasi televisyen internet yang popular dalam kalangan pengguna tempatan masa kini ialah Netflix, Iflix dan HyppTV, Astro On Demand serta Tonton.com.
Mula ditubuhkan lebih sedekad lalu, aplikasi televisyen internet antarabangsa, Netflix kini menawarkan lebih 600 jam tonton buat lebih 86 juta pengguna mereka.Selain itu, ia juga dijadikan sebagai platform buat penonton untuk mendapatkan hiburan secara mudah alih tanpa perlu bergantung pada peti televisyen mahupun menonton filem di pawagam. Perkhidmatan televisyen internet menawarkan tayangan pelbagai program menarik termasuk drama rantaian, filem serta dokumentari tempatan dan antarabangsa.
Tidak hanya dapat menjimatkan masa dan wang, perkhidmatan digital sebegitu turut memberikan pengalaman menarik buat penonton tanpa perlu mengalami penimbalan (buffering) atau pemuatan (loading) ketika ingin menonton video.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden Inovasi Produk Neflix, Todd Yellin, berkata, perkembangan dunia teknologi secara tidak langsung telah memberikan lebih kepuasan kepada penonton. Hal itu kerana kekerapan berlakunya buffering secara tidak langsung telah ‘membunuh’ mood penonton terutama buat penggemar filem Hindi yang rata-rata berdurasi sekitar tiga jam.
“Sewaktu awal kewujudan internet, pastinya kita berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan video mahupun menonton filem dari pelbagai negara. “Selain itu kita juga terpaksa berdepan dengan buffering atau loading sehingga terpaksa memakan masa yang lama untuk menyempurnakan tontonan,” jelas Todd.
Dalam menongkah arus kemodenan, Netflix tidak hanya berusaha menawarkan pelbagai kandungan program menarik, bahkan turut bersedia berdepan cabaran teknologi mendatang. Berusaha memberikan perkhidmatan terbaik, Netflix kini giat membangunkan spesifikasi teknologi ultra definisi tinggi (HD4k) agar tidak berlakunya pembaziran teknologi.
“Menjanjikan lebih kepuasan kepada penonton, Netflix kini berusaha meluaskan perkhidmatan HD4k agar teknologi canggih ini dapat menyokong kandungan sekali gus mengikut peredaran masa,” ujar Todd optimis.
Kolaborasi syarikat telekomunikasi
Tidak hanya organisasi antarabangsa, saluran televisyen milik tempatan iaitu HyppTV turut merangka pembangunan penyiaran mereka yang dikuasakan oleh Telekom Malaysia (TM) buat pelanggan UniFi dan Streamyz.
Cabaran persaingan antara rangkaian televisyen tempatan dan over the top content (OTT) yang semakin mencabar menjadikan HyppTV berusaha menawarkan perkhidmatan berkualiti malah sentiasa meningkatkan mutu kandungan.
Lebih menarik, kandungan hiburan bertaraf antarabangsa terutama dalam membawakan siaran drama rantaian dari negara Amerika Syarikat pada waktu siaran sama di Malaysia. Menurut Naib Presiden Eksekutif Media Baharu TM, Jeremy Kung, selain HyppTV, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan HyppTV Everywhere yang mula beroperasi pada April 2015.
Kerjasama antara syarikat telekomunikasi
Digi secara tidak langsung memberikan kemudahan buat pengguna untuk akses atau melanggan secara berasingan atau pek HyppTV Everywhere bermula pada harga RM10 hingga RM15 sebulan.
“Kelebihan itu secara tidak langsung menjadikan siaran televisyen dapat ditonton secara mudah alih sekali gus memudahkan pengguna menonton mengikut keinginan mereka,” kata Jeremy.
Selain Digi, HyppTV turut menjalin kerjasama dengan U Mobile Sdn. Bhd. menawarkan perkhidmatan pakej video Onz iaitu kemudahan akses internet tanpa had secara percuma kepada pengguna U Mobile menerusi aplikasi HyppTV Everywhere dan OTT.Gaya hidup terkini
Biarpun aplikasi televisyen internet masih hijau dalam kalangan pengguna tempatan tetapi ia tetap mempunyai pengikut tersendiri serta tidak ingin ketinggalan mengejar arus kemodenan. Memegang status sebagai salah seorang pengguna aplikasi televisyen internet Iflix, pelakon, pengarah dan penerbit, Afdlin Shauki menyifatkan kemudahan tersebut bersesuaian dengan gaya hidup masyarakat masa kini.
Tambahan, kesibukan jadual kerja menjadikan pengguna memilih platform aplikasi televisyen internet atau digital untuk menonton program kegemaran mereka. Selain itu, kelebihan aplikasi tersebut yang menawarkan perkhidmatan video on demand (VOD) iaitu kandungan paparan video atau audio yang boleh ditonton pada bila-bila masa.
“Menggunakan aplikasi VOD dapat memberi kebebasan masa tontonan kerana boleh jeda (pause) seketika video yang sedang ditonton sama ada untuk melakukan perkara lain atau ke tandas. “Ia juga memberikan kita kemudahan untuk menonton semula program televisyen sekiranya tidak berkesempatan menyaksikan rancangan kegemaran mereka pada waktu siaran,” terang pelakon filem Soal Hati itu.
Disoal mengenai caj langganan mahal dikenakan kepada pengguna, dengan ringkas Afdlin menjawab bahawa tawaran aplikasi tersebut masih sedikit dalam memenuhi permintaan yang banyak secara tidak langsung mempengaruhi kadar yuran langganan.
“Disebabkan penggunaan televisyen internet di Malaysia masih baharu, cajnya sedikit mahal tetapi sekiranya lebih banyak penawaran, sudah tentu harganya akan menjadi semakin murah,” tambah Afdlin.
Cabaran media digital
Jika sebelum ini filem hanya dapat ditonton di layar perak, kaca televisyen mahupun cakera video digital (DVD), kini pengguna mampu menikmati kelebihan situasi tersebut dengan menonton secara VOD. Menjadi pilihan utama seorang lagi penerbit terkenal, Lina Tan daripada Red Communications, mengakui kepadatan jadual kerja menyebabkan dirinya sering terlepas siaran program menarik di kaca televisyen.
Justeru, dia menambah penggunaan kemudahan VOD adalah keputusan terbaik, sekali gus membantu untuk kekal menonton program kesukaan pada masa terluang. Seperkara yang perlu difikirkan juga, teknologi digital tanpa batasan turut membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk membuka saluran televisyen sendiri.
Pastinya perkara tersebut menjadi cabaran buat media digital dalam memastikan kepuasan pengguna untuk kekal setia menggunakan perkhidmatan mereka. Perkara itu turut dirasai oleh Lina dalam menguruskan televisyen digital miliknya iaitu feefo.tv yang telah beroperasi lebih 10 bulan lalu.
Berusaha memberikan kandungan terbaik kepada penonton, sebagai siaran televisyen digital baharu, cabaran untuk mendapatkan dana menjadi kekangan berkarya dan meneruskan persaingan. Bersiaran secara percuma kepada penonton, saluran feefo.tv turut disambung pada pautan YouTube bagi memudahkan pengguna untuk menonton.
Berjaya meraih hampir 5,000 langganan, Lina turut bersependapat dengan aktor Afdlin berkaitan pembayaran yuran langganan yang dikatakan mahal.
“Pada pandangan peribadi, saya melihat bayaran yang dikenakan agak setimpal dengan perkhidmatan ditawarkan oleh mereka termasuk pelbagai program televisyen menarik dari luar negara,” kata penerbit filem Pisau Cukur tersebut.Sebagaimana dunia tanpa sempadan dan membuka seluas-luasnya gedung hiburan serta maklumat, televisyen digital pastinya mengundang pro dan kontra. Ia dilihat lebih bermanfaat untuk warga dunia yang sentiasa bergerak dan tidak mahu ketinggalan dalam ruang siber, walaupun nikmat kualiti tontonan sebenarnya masih tersergam di ruang tamu bersama keluarga.
Sesuatu harus difikirkan mungkin soal kawalan kandungan televisyen digital yang tiada tapisan daripada soal sensitiviti agama dan budaya mahupun pornografi.

0 comments:
Post a Comment