Kisah dewa cinta atau ‘cupid’ sememangnya sangat menarik walaupun sekadar mitos. Bagaimanapun, pembikin filem sentiasa mengetengahkan idea itu sebagai elemen tarikan bagi mewarnakan lagi kisah cinta.
Terbaru, drama bersiri berjudul Cupid Co hasil kerjasama iflix dengan Macam Yes Studios turut menggunakan elemen itu yang diberi kelainan daripada plot ceritanya. Boleh ditonton dengan melanggan iflix, siri tempatan pertama terbitan Studio2:15 itu turut disuntik dengan kecanggihan teknologi.
Penerbit Eksekutifnya Dan Khoo berkata, idea asal Cupid Co adalah sekadar suka-suka sebelum dikembangkan menjadi siri. “Sebenarnya ia adalah idea suka-suka apabila kami mahu menggunakan elemen dewa cinta tapi dengan cara berbeza. Kami juga sangat tertarik dengan konsep teknologi moden dan perisikan untuk diketengahkan.
“Dari situ kami kembangkan idea berkenaan dan menjadikan Cupid Co sebagai satu siri yang bukan klise. Barisan pelakonnya juga boleh dikatakan muka-muka baru. “Kami sangat berbangga produk tempatan sulung terbitan asal iflix. Ia satu penghormatan dapat bekerjasama dengan Studio2:15 dan iflix yang meluaskan lagi capaian kami terhadap lebih ramai penonton serta peminat,” katanya.
Cupid Co yang ditulis dan diarah Brian Lee dan Ernest Ng itu dibintangi Michael Lean sebagai Tim, Michelle Leong (Michelle), Dennis Yin (Bruce), Amanda Ang (Director Evans), Tanesh (Eugene) dan Ernest Ng (Matt). Segar dan penuh dengan elemen seperti permainan video yang popular dalam kalangan remaja, Cupid Co menyasarkan penonton golongan itu.
“Kami tahu remaja adalah antara penonton yang sangat aktif melayari iflix. Jadi, kami menjadikan siri berkenaan mesra kepada mereka selain jalan ceritanya lebih memenuhi selera golongan itu. Pelajar kolej tentunya inginkan plot cerita yang segar dan pada masa sama disuntik kelainan tersendiri,” katanya.
Cupid Co mengisahkan dewa cinta iaitu Tim yang menentang keras undang-undang syurga membuatkan seorang manusia iaitu Michelle jatuh cinta dengannya. Bagaimanapun, dia terperangkap dalam situasi sama ada mahu meneruskan hajat bercinta disebabkan terikat dengan peraturan sebagai dewa cinta.
Setiap keputusan Tim mampu membawa padah terhadap banyak perkara. Bukan saja terhadap dirinya, kehidupannya boleh berubah selain memberi kesan terhadap rakan karibnya, Bruce. Sementara itu, Pengarah iflix Malaysia dan Brunei, Diana Boo berkata, kerjasama berkenaan adalah platform terbaik mereka untuk memartabatkan produk tempatan terutama bakat kelahiran YouTube.
“Menyedari ramai mahukan siri pendek yang berkualiti dan terbitan asal iflix, kami melihat peluang itu sebagai platform keemasan buat pembikin kandungan tempatan. Ia sangat berguna untuk mereka meluaskan lagi bakat serta idea.
“Kerjasama dengan Macam Yes Studios adalah permulaan yang baik untuk kami tampil dengan lebih kandungan tempatan. Kami sangat teruja untuk menghasilkan lebih produk tempatan yang boleh mengagumkan penonton,” katanya.
0 comments:
Post a Comment