My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 11 October 2016

    Kepakaran Petronas Lonjak Kejayaan Mercedes


    PASUKAN Mercedes AMG Petronas membuktikan mereka pasukan yang sukar digugat apabila melakar sejarah tersendiri dengan mencetak kejuaraan kategori pengeluar Formula Satu (F1) buat kali ketiga berturut-turut selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di Litar Suzuka semalam. 

    Dengan kerjasama yang dilakukan bersama Mercedes sejak 2010 ternyata membuahkan hasil lumayan apabila mereka bukan sahaja meletakkan jenama di jentera F1, malah syarikat tempatan ini memacu sebagai rakan teknikal mengeluarkan formula Petronas menerusi cecair minyak enjin dan bahan api, sekali gus mampu mencetak hatrik selepas bergelar juara pada 2014, 2015 dan 2016. 

    Sudah pasti, kehadiran pemandu pasukan iaitu Nico Rosberg dan Lewis Hamilton menjadikan pasukan Mercedes AMG Petronas antara yang digeruni bukan sahaja mendominasi kejuaraan dunia, malah kedua-dua pelumba tersebut kini menguasai kedudukan pertama dan kedua dalam pemburuan gelaran dunia.

    Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Md. Arif Mahmood berkata, kejayaan yang dirangkul tersebut memahat sejarah tersendiri buat Petronas hasil kerjasama dengan jentera Mercedes AMG sebagai rakan teknikal yang berjaya.

    “Ini tahun ketiga kita menjuarai ka­tegori pengeluar dan sudah pasti bukan Petronas sahaja meraikannya, malah seluruh Malaysia harus berbangga dengan kejayaan ini. Kerjasama dengan jentera Mercedes AMG dalam menyediakan formula pelincir dan minyak kita mampu mencetak kejayaan buat kali ketiga berturut-turut.

    “Ini satu kejayaan yang luar biasa buat negara pada perlumbaan berprestij di dunia. Ternyata formula yang digunakan menerusi penggunaan pelincir dan minyak Petronas mampu meningkatkan perkembangan prestasi enjin dan kereta itu sendiri.

    “Jika dahulu kita hanya sebagai penaja sahaja, kini kita harus berbangga kerana Petronas sendiri menghasilkan formula pelincir dan minyak yang digunakan pada jentera Mercedes AMG dalam saingan F1,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kejuara­an di Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur semalam.

    Mengulas persediaan perlumbaan 2017, beliau mengakui Petronas sedang merangka pelan perancangan supaya kecemerlangan Mercedes AMG dapat diteruskan pada tahun depan.

    “Jika pada perlumbaan 2014, kita sudah merangka pelan yang lebih lama kerana setiap tahun pasti akan berlaku perubahan. Jadi, kita juga telah melakukan persiapan awal serta melakukan kajian mekanikal menerusi minyak enjin, bahan api sehingga ke penghasilan unit kuasa dan reka bentuk kereta,” ujarnya.

    Sebagai rekod, pengalaman pemba­bitan Petronas dalam F1 bermula sejak 1995 bersama pasukan Red Bull-Sau­ber Petronas F1, BMW Sauber F1 (2005) dan Mercedes AMG menjadi pengalaman penting kepada mereka untuk mengorak langkah ke hadapan untuk bersaing pada musim 2017.

    Pasukan Mercedes AMG Petronas mengesahkan kejuaraan pengeluar setelah mengumpul 593 mata pada edisi kali ini selepas dua pelumba mereka menamatkan saingan di tempat pertama dan ketiga pada perlumbaan GP Jepun di Litar Suzuka kelmarin.  Kejayaan itu sekali gus mengesahkan kejuaraan kategori pengeluar lebih awal dengan baki empat perlumbaan lagi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kepakaran Petronas Lonjak Kejayaan Mercedes Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top