JIKA Johor Darul Takzim II (Johor DT II) hanya membenarkan Mohamad Zafuan Adha Abd. Radzak, Darren Lok dan Irfan Fazail dilaporkan menyertai sesi latihan pusat Harimau Malaysia sebelum empat hari perlawanan persahabatan berstatus ‘A’, lain pula cerita yang berlaku kepada Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak.
Semalam, kedua-dua pemain Johor DT II itu dilihat menyertai sesi latihan pusat pasukan kebangsaan Singapura yang mana enam hari sebelum perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaysia menentang Singapura pada 7 Oktober ini.
Singapura yang dibimbing jurulatih tempatan mereka, V. Sundramoorthy telah memanggil pemain-pemain termasuk Baihakki dan Shahril kecuali pemain tengah Johor Darul Takzim (Johor DT), Hariss Harun, menjalani sesi latihan di Geylang Field, Lorong 12, Singapura.
Apapun, penglibatan Baihakki dan Shahril yang menjalani sesi latihan jelas menimbulkan tanda tanya kepada peminat-peminat bola sepak Malaysia sebagaimana pihak pengurusan Johor DT II sebelum ini telah mengarahkan Zaquan, Darren dan Irfan pulang selepas sehari menjalani sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya Selasa lalu.
Mengulas situasi itu, jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui tidak tahu kebenaran Baihakki dan Shahril menyertai sesi latihan pasukan kebangsaan Singapura. Sebaliknya, Kim Swee lebih berminat untuk memberikan fokus kepada persiapannya untuk menentang pasukan bimbingan Sundramoorthy di Stadium Nasional, Singapura nanti.
“Saya tidak tahu mengenai perkara itu (Baihakki dan Shahril) dibenarkan menyertai sesi latihan pusat pasukan kebangsaan sebelum empat hari perlawanan persahabatan). Jadi, saya tidak boleh komen.
“Buat masa ini, saya lebih berminat untuk fokus persiapan pasukan saya untuk bertemu Singapura nanti. Itu lebih mustahak kerana saya perlu menyiapkan pasukan yang lebih ampuh untuk kejohanan Piala AFF Suzuki di Myanmar pada bulan depan.
“Saya gembira Shahrom Kalam telah datang menyertai sesi latihan skuad kebangsaan dan kita tahu Shahrom bukan sahaja penting di dalam padang tetapi di luar padang, dia diangkat sebagai pemain senior dan disegani sesama rakan sepasukan.
“Selain itu, perkembangan Norshahrul Idlan Talaha benar-benar positif. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita telah bersedia untuk menyediakan program khas untuknya demi membantu menaikkan kembali tahap kecergasan dan prestasi di tahap lebih baik,” katanya kepada media, semalam.
Sebelum ini, Kim Swee dilaporkan akur dengan keputusan pihak pengurusan Johor DT II yang mengarahkan Darren, Zaquan dan Irfan pulang dari sesi latihan pusat Harimau Malaysia dengan hanya mahu melepaskan tiga pemain itu empat hari sebelum bertemu Singapura di Stadium Nasional nanti berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Apa yang pasti, kehilangan beberapa tonggak utama bakal menjejaskan persiapan skuad bola sepak kebangsaan dan ia dilihat berterusan menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirai aksi Kumpulan B di Myanmar pada 20 November depan.
Sebelum ini, bekas kapten Harimau Malaysia, Safiq Rahim bersama Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal telah membuat keputusan untuk bersara dari pentas antarabangsa pada Julai lalu.
0 comments:
Post a Comment