“Setiap kali saya membuka tingkap pada waktu pagi, saya terasa bagai ada mata memerhatikan saya,” kata Ruslan @ Nasir Sarapin, 39, juragan kapal yang dibebaskan selepas tiga hari menjadi mangsa tebusan kumpulan bersenjata di perairan Pulau Gaya, Semporna, dekat sini, sejak 27 September lalu.
Selepas kejadian, Ruslan dilarikan ke selatan Filipina sebelum dibebaskan dan tiba di jeti, di sini, pada 1 Oktober lalu. Menceritakan kejadian itu, dia yang masih trauma dengan insiden itu berkata, sepanjang dalam tawanan, dia dilayan kasar dan dipaksa mengikut anggota kumpulan itu ke dalam hutan.
“Saya dibiarkan bersendirian dalam hutan oleh anggota kumpulan itu dan hanya diberi sekeping papan lapis untuk dijadikan alas tempat baring dan tidur. Sewaktu di dalam tahanan, saya hanya berserah kepada Allah dan berdoa supaya tidak diapa-apakan,” katanya di rumahnya di sini, semalam.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim meluangkan masa mengunjungi Ruslan. Pada lawatan yang turut disertai media, Ruslan kelihatan seperti keliru dan terkejut dengan kejadian itu.
Dia agak berhati-hati dan enggan bercerita lanjut ketika ditanya berhubung pengalamannya menjadi tebusan kumpulan berkenaan. Lelaki itu juga tidak mahu mengulas cara pembebasannya sama ada membabitkan bayaran wang tebusan atau sebaliknya kerana bimbang keselamatannya.
Pada kejadian 27 September lalu, kumpulan bersenjata yang aktif dalam jenayah rentas sempadan semakin mengganas apabila melakukan dua rompakan dalam masa setengah jam di perairan Semporna dan Lahad Datu.
Dalam kejadian pertama di perairan Pulau Gaya, Semporna, sebuah bot pukat jerut yang menunda bot didatangi bot laju dinaiki enam lelaki dan tiga daripada mereka bersenjata api. Empat penjenayah naik ke atas bot berkenaan dan menggeledah lalu mengambil dokumen anak kapal, telefon bimbit, barang peribadi sebelum melarikan pemilik bot yang juga juragan bot iaitu Ruslan.
Pada kejadian kedua selang setengah jam selepas itu, kumpulan sama menahan bot pukat jerut di perairan Tungku, Lahad Datu.
0 comments:
Post a Comment