Pengendali laman sosial Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’, Beng Kor menafikan pernah mengeluarkan kenyataan membabitkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. Beliau mendakwa, setiap yang ditulis di laman sosial itu adalah pendirian ‘Page’ tersebut, namun telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan salah faham.
Tambahnya, ekoran itu juga, dia telah ditahan polis baru-baru ini selepas 16 laporan polis dibuat ke atasnya. “Apa yang ditulis adalah pendirian ‘Page’ (Sarawak Keluar Malaysia 2021) itu sendiri, dan yang jadi kontroversi adalah kerana ada gambar Tok Nan (Adenan) yang mana gambar tersebut diperolehi daripada Google.
“Untuk makluman, setiap apa yang ditulis di dalam ‘Page’ berkenaan tidak membabitkan atau memetik kata-kata Tok Nan. Penulisan tersebut telah disalah tafsir dan saya difitnah sehingga 16 laporan polis dibuat ke atas saya,” kata Beng Kor pada sidang media di sini, semalam.
Beng Kor selain itu ingin memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon maaf kepadanya kerana ‘tersalah tangkap’ berhubung perkara tersebut.
“Sepatutnya hari ini (semalam) saya dibicarakan tetapi saya hanya disoal siasat dan pihak polis membebaskan saya semalam (kelmarin) kerana mungkin memikirkan pendirian saya betul selepas mendengar keterangan daripada saya,” katanya.
Sementara itu, Beng Kor turut mahu kerajaan persekutuan memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri ini kerana didakwa melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana menurunkan status Sarawak kepada negeri ke-13 pada tahun 1976.
“Menurunkan status Sarawak kepada negeri ke-13 adalah ternyata melanggar perjanjian Konvensyen Vienna kerana Sarawak tidak masuk Malaysia, sebaliknya membentuk Malaysia pada tahun 1963. Kita mahu kerajaan persekutuan melihat balik perkara ini (MA63) terutama yang melibatkan hak Sarawak dan saya bersuara untuk seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.
Menjelaskan mengenai nama ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’, Beng Kor memberitahu kerana pada tahun 2021 dijangka akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
0 comments:
Post a Comment