Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, iklim politik negara tidak pernah aman dan stabil. Setiap hari, ada sahaja isu yang dibangkitkan oleh pembangkang terutamanya selepas mereka berjaya meraih 87 kerusi sebaik sahaja pengumuman keputusan itu dibuat.
Hari demi hari, pelbagai serangan dibuat pembangkang keatas kerajaan walaupun setiap hari, akan ada jawapan dikemukakan terhadap tuduhan berkenaan. Sebagai contoh, isu 1MDB, sehingga kini masih belum dapat diselesaikan kerana setiap hari, pasti ada tuduhan-tuduhan baru dilemparkan keatas syarikat pelaburan berasaskan kerajaan berkenaan.
Corak "barbarian" pembangkang ini tidak terhad kepada kerajaan dan semua syarikat yang ada hubung kait dengan kerajaan, malah, mereka turut mula berani mempermainkan institusi istana yang selama ini begitu eksklusif tanpa boleh disentuh oleh mana-mana fahaman politik sekalipun.

Mereka diketuai oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan melihat Tan Sri Khalid mengetuai Selangor. Maka oleh yang demikian, Langkah Kajang dilakukan untuk menukar kepimpinan Tan Sri Khalid dan meletakkan isterinya, Datin Seri Wan Azizah sebagai calon utama Menteri Besar.
Mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Selangor, seorang Menteri Besar haruslah lelaki, beragama Islam, bermaustatin di Selangor dan anak Selangor sendiri. Namun, demi kuasa, Anwar enggan memperdulikan semua itu sehinggalah Sultan Selangor sendiri masuk campur dengan memperkenankan perlantikan Azmin Ali (Datuk Seri) sebagai Menteri Besar yang baru.

Terbaru, lihat sahaja bagaimana Kebawah Duli Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dipersendakan oleh budak hingusan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Semuanya bermula apabila Kebawah Duli Tuanku melarang keras sebarang perhimpunan BERSIH diadakan di mana-mana tanah jajahan Johor yang diketuai Baginda.
Sehari kemudian, Syed Saddiq bertindak biadab mengeluarkan 3 helai surat terbuka kepada Kebawah Duli Baginda, menyelar dan "menyekolahkan" Baginda bagi menghalalkan himpunan BERSIH 5 ini. Tidak terhenti di situ, beberapa pemimpin pembangkang juga mula berani mempersoalkan titah Paduka Tuanku ini.
Persoalannya, dimanakah pegangan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara seperti yang termaktub dalam Rukun Negara? Adakah merasakan diri mereka sudah mempunyai kuasa, mereka berhak untuk ingkar kepada titah Raja-Raja Melayu yang sejak dahulu lagi sememangnya ketua bagi negara? Ini bukan hal yang boleh dipersendakan begitu sahaja.

Walau siapapun kita, apa jua idealogi politik kita, prinsip Rukun Negara harus di sematkan kedalam jiwa masing-masing. Sejak 1511 lagi, Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah ketua bagi sekalian ketua yang ada di negara ini. Jika prinsip ini mahu dilanggar, bererti, seseorang itu sudah hilang norma dan pendiriannya sebagai salah seorang anak jati Malaysia.
0 comments:
Post a Comment