Kelmarin, dalam satu temubual yang dilakukan oleh Penegerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, dia mengatakan, BERSIH ditubuhkan bukan untuk memihak pada mana-mana parti politik. Tujuan asal penubuhannya adalah menuntut Pilihan Raya yang bersih dan adil. Ujarnya, BERSIH sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang menyokong perjuangannya.
Maria juga menegaskan bahawa BERSIH hanyalah bergerak untuk membela kemahuan rakyat tanpa mengutamakan kepentingan politik semata-mata. Katanya lagi, Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 60 tahun lalu, yang menjadi masalah bukan disebabkan pemerintahan Barisan Nasional, tetapi adalah sistem pilihan raya yang tidak adil.
Katanya lagi, sekalipun dalam PRU14 yang akan datang, jika BN dapat meneruskan pemerintahan, BERSIH akan menerima keputusan dengan hati yang terbuka. Namun ianya dengan syarat, pilihan raya umum mesti dijalankan dengan adil, telus, terbuka serta bersesuaian dengan sistem pilihan raya secara berdemokrasi.
Persoalannya, benarkah BERSIH tidak memihak kepada mana-mana parti politik? Sejak dari awal gerakan ini mengadakan demonstrasi jalanan pada 10 November 2007, gerakan ini secara terang-terangan dijadikan medium oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentang kerajaan.
Sejak dari awal lagi sehinggalah BERSIH 4, BERSIH sentiasa dijadikan medium untuk parti politik pembangkang menzahirkan pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan, hanya dengan satu tujuan, iaitu politik. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menunjukkan mereka menentang kerajaan, termasuk langsung tidak mencegah tindakan ganas pesertanya yang menyerang anggota polis pada BERSIH 1, 2 dan 3.
Benar, mereka ada meletakkan tuntutan utama mereka untuk sistem Pilihan Raya bersih dan adil. Namun, ianya telah ditunaikan kerajaan pada BERSIH 3 lagi. Justeru, timbul persoalan, apa lagi yang dimahukan mereka?
Dalam siri penganjurannya, ada juga diletakkan tuntutan untuk kerajaan yang bebas dari rasuah. Namun jika direnung pada BERSIH 4, baik pemimpin pembangkang mahupun Maria Chin sendiri, mereka menuntut untuk kerajaan sedia ada hari ini dibubarkan. Bukankah ini satu tuntutan berunsur politik dari BERSIH?
Bagaimana pula dengan slogan "Undur Najib" dan acara memijak gambar pemimpin yang langsung tidak ditegur oleh Maria? Bukankah ini juga satu provokasi kepada kerajaan terutamanya kepimpinan BN yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Najib? Adakah Maria mahu menafikan semua ini dan mahu menipu semua pihak bahawa BERSIH adalah suci dan perjuangan yang baik?
Sudahlah Maria, usah mahu menipu dan berdolak dalih lagi dengan kewujudan BERSIH. BERSIH sememangnya alat buat pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan terutamanya seruan yang dibuat Maria sewaktu melancarkan BERSIH 5, 19 November nanti.
Bagi pengikut tegarnya, BERSIH adalah pentas untuk mereka menzahirkan kemahuan mereka. Namun dari segi moral dan akhlak, baik pemimpin mahupun para penyokong, mereka adalah pihak yang memperjuangkan kerosakan akhlak, budaya gila dan anti demokrasi. BERSIH bukan sebersih yang Maria cuba agungkan menerusi temubual berkenaan!
0 comments:
Post a Comment