Saat gembira lima beranak bersama dua lagi saudara mereka menikmati makan malam (stimbot) berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya di sini malam kelmarin.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nizam Farizan Abdul Malik berusia 20-an dan ibunya, Dayang Persih Awang Latip berusia 40-an dari Taman Indah Landeh, Batu 10 Kota Padawan dekat sini.
Pemandu kereta jenis Proton Saga yang dinaiki semua mangsa, Awang Marjuki Awang Latip, 29, dari Kampung Masjid Sebuyau turut cedera parah. Manakala tiga lagi anak Dayang Persih iaitu Nor Fatin Abdul Malik, 21, Asmada Abdul Malek, 16, Nor Tasha Ayuni Abdul Malik, 15, dan saudara mereka, Zulkepli Abdullah, 19, dari Kampung Jalan Sawmill, Sebuyau cedera.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Alexson Naga, kejadian berlaku pada sekitar jam 11 malam kelmarin apabila kereta yang dinaiki semua mangsa terbabas lalu melanggar pokok.
“Kejadian berlaku di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub berdekatan bulatan Datuk Kipali Abang Akip apabila kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar pokok. “Kesemua mangsa dalam perjalanan ke Landeh di Batu 10, Kota Padawan selepas makan malam di Hawa Steamboat,” katanya.
Alexson menambah, kesemua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak. Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 comments:
Post a Comment