Seorang ahli kumpulan bersenjata yang merompak sebelum menculik dua tekong bot nelayan tempatan di perairan Pegasus Reef, dekat sini, Sabtu lalu, dipercayai menggunakan jurubahasa yang pernah menetap di Sabah.
Menurut sumber, ia berdasarkan keterangan lima kru bot berkenaan yang terselamat dalam kejadian itu. Katanya, ketika kejadian, lima suspek lelaki bersenjatakan raifal M16, M16A dan jenis ‘Garant’, menaiki bot fiber dengan enjin 25 kuasa kuda jenis Johnson sebelum merompak kedua-dua bot nelayan berkenaan.

“Kemudiannya, si jurubahasa itu bercakap kepada kru bot nelayan tempatan dalam bahasa Melayu. Berdasarkan maklumat daripada mangsa berkenaan, ada kemungkinan lelaki yang berperanan sebagai jurubahasa ini pernah menetap di Sabah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Sumber sama berkata, semua suspek juga dilaporkan tidak memakai kasut dan hanya berkaki ayam. “Seorang suspek yang dipercayai berperanan sebagai juragan bot kumpulan itu pula dikatakan berseluar celoreng dan memaki baju warna jingga,” katanya.
Dalam pada itu katanya, ketika kejadian, ada enam bot termasuk bot mangsa di perairan sama menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda. Katanya, jarak antara satu bot dengan bot lain adalah kira-kira tiga batu nautika.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. Sehubungan itu, pihaknya meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan. Dalam kejadian terbaru itu, kumpulan bersenjata mengambil masa kurang sejam untuk merompak dan menculik tekong dua bot nelayan tempatan di perairan Pegasus Reef, di sini.
Kumpulan penjenayah rentas sempadan terbabit dipercayai melarikan warga Indonesia dikenali sebagai La Utu La Raali, 52, dan La Hadi La Edi, 46, masing-masing dari bot berkenaan. Penjenayah kemudian melarikan diri ke arah selatan Filipina.
0 comments:
Post a Comment