“Terpulang kepada ahli gabungan,” jelas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ditanya mengenai cadangan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sedia mencalonkan Tan Sri Aseh Che Mat untuk memegang tampuk badan induk itu.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah, FAM sudah membuat ketetapan dan semuanya terpulang kepada ahli gabungan untuk menentukan siapa yang akan menerajui badan induk itu pada persidangan Kongres kali ke-53, 25 Mac depan.
“Ia hak ahli gabungan untuk menentukan kepimpinan FAM, mereka mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan badan induk ini. FAM hanya akan menguruskan proses (pengundian) saja,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM semalam.
Jelasnya, kuasa sekarang ini di tangan semua ahli gabungan untuk menentukan kepimpinan baharu FAM bagi penggal 2017-2021. Mengenai kesudian Tunku Ismail untuk menjadi Penaung Diraja dan bukannya Presiden FAM, Afandi berkata, jawatan itu boleh diwujudkan namun terserah kepada kepimpinan baharu nanti.
“Sekarang kami sudah menetapkan tarikh kongres, ahli gabungan akan menentukan kepimpinan baharu FAM. Biar ahli gabungan fikirkan siapa bakal menerajui FAM, saya rasa tidak ada sebarang masalah untuk mewujudkan jawatan Penaung Diraja tapi semua perkara itu boleh diserahkan kepada kepimpinan baru.
“Kepimpinan baru nanti sudah tentu mempunyai perancangan dan hala tuju selanjutnya dalam menerajui FAM,” ujar Afandi. Menurutnya, notis untuk mengadakan kongres tahun depan akan dikeluarkan kepada ahli gabungan dalam masa terdekat dan pencalonan untuk sebarang jawatan bagi pemilihan itu harus dikemukakan selewat-lewatnya pada 23 Januari 2017.
“Selepas calon dinamakan oleh ahli gabungan mereka harus membuat penetapan untuk bersetuju menerima pencalonan itu dan senarai itu akan dikemukakan kepada Exco pada 20 Februari untuk mengesahkan calon yang akan bertanding.
“Antara jawatan yang akan dipertandingkan ialah Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Exco (termasuk dua wakil wanita). Sebanyak 20 ahli gabungan termasuk persatuan jurulatih akan mewakili 39 undi,” katanya.
Antara calon yang digembar-gemburkan untuk bertanding jawatan Presiden FAM sebelum ini adalah Aseh, Tunku Ismail, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Seri Idris Jala.
0 comments:
Post a Comment