Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom adalah dua nama atas jasad yang sama. Dia, wanita yang memegang predikat sebagai seorang pelakon, sekali gus, penyanyi. Terlebih dulu juga, Elly melangkah ke dalam gawang dunia hiburan dengan pengenalan sebagai penyanyi sekitar tahun 1997.
Namanya cukup sinonim dengan hit Bungaku Bakawali, sebelum perlahan-lahan harumnya sebagai penyanyi beralih padang kepada dunia lakonan. Selepas beberapa tahun khalayak mengenalinya sebagai dramatis yang berjaya dengan pelbagai jenis karakter, Elly kembali mahu menghidupkan cintanya terhadap dunia nyanyian.
Pentas program realiti Gegar Vaganza 3 (GV3) yang sedang hangat merentasi musim ketiga menjadi platform buat dia mengambil peluang dan kepercayaan pihak produksi yang diberikan kepadanya. Namun, belum menjengah suku perjalanan, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu sudah mengalah.
Mengalah kerana tidak mampu bertahan dengan kritikan yang disifatkan sebagai mengguris hati daripada juri tetap meastro muzik negara, Datuk Ramli MS. Dakwa Elly, perkataan ‘ihsan’ yang diguna Ramli sewaktu memberi komen terhadap persembahan duetnya bersama Acong menerusi lagu Jangan Menangis Sayang menjadi punca dia nekad meminta pihak produksi menggugurkan namanya sebagai peserta untuk terus berjuang.
Berjuraian air mata Elly saat bertemu pihak media, menceritakan tentang penyingkiran yang didakwanya sebagai permintaan peribadi.
“Saya memang kecil hati dengan komen Tok Ram (Ramli MS) yang buat saya rasa sedih sangat. Komen Tok Ram yang menyatakan terpulang dengan belas ihsan Astro sama ada saya mampu bertahan atau tidak, sangat mengecewakan sehingga membuat saya nekad untuk menarik diri.
“Kenyataan itu seolah-olah mengiyakan pendapat orang ramai yang mendakwa saya bertahan dalam program ini berdasarkan simpati semata-mata. Itu yang membuatkan saya hilang kekuatan dan tiada semangat untuk terus berjuang,” ujarnya seraya teresak-esak melontarkan kata-kata.
Realitinya, jauh di sudut hati, Elly berharap dapat membuka buku baharu dengan menyertai GV3. Tidak menyalahkan pihak Astro atau Ramli sepenuhnya terhadap penyingkirannya, wanita berusia 36 tahun itu menganggap insiden yang berlaku sebagai dugaan dalam hidup untuk menguatkan dan mendewasakan dirinya.
“Sejujurnya, saya sudah tidak mampu berdepan dengan macam-macam dugaan dalam kehidupan ini. Mungkin rezeki saya sampai di sini sahaja dalam pentas GV3. Begitupun, saya tetap berterima kasih kepada pihak Astro kerana memberi peluang kepada saya, malah sama sekali tidak marah Tok Ram dalam perkara ini. Lagipun, markah saya pada minggu ini memang rendah. Sesuailah dengan keadaan yang berlaku,” ujarnya meredakan keadaan.
Ditanya sama ada dia akan menyertai semula GV3 sekiranya proses imuniti diwujudkan, penyanyi yang popular dengan lagu Di Sapu Awan itu nekad tidak mahu kembali ke pentas program berkenaan. “Saya nekad tidak mahu masuk balik GV3 walaupun jika terdapat imuniti. Mungkin rezeki saya tidak panjang di sini,” katanya tegas.
Perancangan
Bercerita berhubung perancangan selepas program GV3, Elly memberitahu akan meneruskan perjalanan karier seni dalam bidang lakonan. “Saya akan memulakan aktiviti seni seperti biasa selepas ini. Semasa menyertai GV3, saya tidak mengambil sebarang tawaran kerana ingin memberi tumpuan terhadap program ini.
“Bahkan, saya teruja apabila kesihatan kembali pulih dan dapat suara kembali semasa konsert ini. Apabila sudah tersingkir, saya akan kembali aktif seperti biasa dan boleh menerima tawaran semula. Mungkin rezeki saya di luar sana, cukup selama empat minggu dalam GV3,” katanya.
Elly turut melahirkan perasaan sedih kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada dirinya. Katanya, mereka bukan sahaja memberi sokongan semasa konsert berlangsung di dalam dewan tetapi tidak pernah putus asa memberi nasihat serta semangat melalui laman media sosial.
“Saya rasa sedih untuk peminat-peminat kerana mereka sentiasa berada di belakang saya memberi sokongan,” tambahnya.
Terdahulu, sebelum menyertai GV3, Elly berhadapan dengan krisis pacsaperceraian bersama suaminya, Azmi Hatta, 41, yang menceraikannya sewaktu sedang hamil anak sulung mereka, Putri Sara Sefhia.
Dia yang mengaku tidak bekerja dalam tempoh lama untuk mencari kekuatan diri selain belajar membesarkan anaknya sebagai ibu tunggal, mengambil keputusan untuk menyertai GV3 untuk kembali menjana pendapatan.
“Memang benar saya menyertai GV3 untuk kelangsungan hidup, tetapi itu tidak bermakna saya perlukan simpati khalayak untuk memastikan saya terus bersaing. Sebab itu saya katakan yang rezeki saya mungkin kembali terarah kepada dunia lakonan selepas ini,” luah Elly.
Malah, pada saat bekas suaminya kini berbahagia dengan kekasih baharu, Faye Kusyairi, Elly belum terfikir untuk mencari cinta baharu. Baginya, cinta yang sedang mekar di dalam jiwanya pada saat ini adalah milik Sefhia sepenuhnya.
0 comments:
Post a Comment