My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 3 November 2016

    Manusia Mudah Percaya Pada Ilusi





    BEBERAPA hari lalu, kita dikejutkan dengan tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor yang telah mengakibatkan beberapa pesakit terkorban. Insiden tersebut agak mengejutkan kita semua. Bagaimanapun, berita seumpama itu adakalanya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaitkannya dengan peristiwa lain. 

    Disebabkan kebakaran di hospital itu selang beberapa jam dengan kejadian letupan di sebuah stesen minyak di daerah sama, ada pihak cuba mengaitkannya dengan anasir keganasan. Mereka cuba mengaitkan kejadian letupan di stesen minyak dan kebakaran hospital itu sebagai dua perkara yang saling berkaitan, walaupun pada hakikatnya ia berlaku secara kebetulan.

    Walaupun ia dua perkara berbeza tetapi orang tetap percaya. Begitu jugalah dengan mengaitkan perjuangan kumpulan tertentu sebagai jihad agama kerana kebanyakan daripada ahli mereka memakai serban dan berpakaian seperti pendakwah. Mereka dianggap sebagai orang yang betul-betul menjaga maruah agama.

    Sedangkan, perbuatan mereka membunuh orang awam yang tidak berdosa telah diabaikan begitu sahaja. Dalam psikologi, mengaitkan dua hubungan yang tidak berkaitan ini dinamakan sebagai perkaitan ilusi. Ia berlaku di mana-mana sahaja dalam kehidupan manusia.

    Misalnya, apabila seseorang peniaga gagal dalam perniagaan, mereka adakalanya dikaitkan dengan identiti bangsanya. Hakikatnya mungkin tidak ada kena-mengena dengan identiti etnik tadi. Mereka mungkin gagal kerana faktor pasaran perniagaan yang tidak stabil atau kekurangan ilmu dalam perniagaan.

    Cepat percaya

    Bagaimanapun, manusia cenderung untuk membuat kesimpulan secara lebih mudah, maka perkaitan ilusi ini akan menyebabkan manusia cepat percaya dengan apa yang mereka dengar dan lihat. Begitu jugalah dengan banyak kejadian lain yang berlaku dalam kehidupan manusia.

    Apabila kita dikejutkan dengan beberapa insiden kapal terbang terhempas, orang ramai mula melihat pengangkutan udara itu tidak lagi selamat dan sangat menakutkan. Sedangkan hakikatnya, setiap hari ada sahaja manusia yang mati atau cedera akibat kemalangan di jalan raya dan bukannya disebabkan oleh kapal terbang terhempas.

    Dalam sejarah manusia, hanya beberapa kali kapal terbang terhempas, sedangkan kemalangan jalan raya berlaku di mana-mana. Perkaitan ilusi ini jugalah yang menyebabkan banyak manusia mudah diperdayakan. Misalnya, apabila ada individu menggunakan gelaran akademik tertentu di depan nama, manusia akan lebih cepat terpedaya dengan kata-kata mereka.

    Nama mereka akan menjadi sebutan dan menjadi pakar motivasi yang dihormati, sekalipun pandangan mereka mungkin tidak benar. Ini kerana gelaran tadi telah dikaitkan dengan kebijaksanaan. Menjadi bertambah buruk apabila kita mengaitkan kejayaan individu tadi untuk melahirkan manusia yang berjaya.

    Bagaimanapun, kita mungkin mengabaikan hakikat bahawa ada kemungkinan banyak juga yang gagal selepas mengikuti seminar atau bengkel pakar motivasi tadi. Disebabkan itu, dalam menghadapi kehidupan harian ini, kita tidak boleh membiarkan pemikiran dipengaruhi dengan perkaitan yang salah. Ia selalu menghantui hidup kita dalam banyak keadaan.

    Kita mudah teruja dengan seseorang yang dilihat warak kerana kita selalu mengandaikan bahawa mereka tentu seorang yang sangat alim dalam ilmu agamanya.

    Realiti kehidupan

    Kita juga cenderung untuk berkata bahawa mereka yang mempunyai perawakan menarik akan lebih berjaya dalam hidup. Disebabkan itu, kita cenderung memberikan perhatian terhadap mereka. Sedangkan realiti kehidupan bukanlah seperti itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan perkaitan palsu ini akan menyebabkan kita juga mungkin menjurus kepada kesimpulan yang menyimpang.

    Misalnya, apabila kita membaca berita jenayah yang kerap berlaku di bandar tertentu, kita mungkin akan mengandaikan bahawa bandar tadi dipenuhi dengan manusia durjana. Kita akan menyebarkan berita tidak baik mengenai bandar tadi.

    Sedangkan, kita mungkin melupakan manusia budiman atau lokasi yang menarik di bandar tadi. Dalam dunia ketika viral dan media sosial telah menguasai kehidupan, kita haruslah berhati-hati menyaring banyak berita yang kita baca. Tidak semuanya adalah hal yang bersifat realiti. Adakalanya apa yang kita baca tadi mungkin telah ditafsir dengan cara dan berdasarkan perkaitan ilusi yang salah.  
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Manusia Mudah Percaya Pada Ilusi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top