Himpunan BERSIH 5 hanya tinggal 17 hari sahaja lagi untuk dilangsungkan. Tidak seperti himpunan BERSIH sebelum ini, kali ini BERSIH berhadapan dengan tentangan terus daripada Gerakan Baju Merah dan ramai pihak yang masih menyanjung sistem Demokrasi BerParlimen yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama.
Paling ketara, PAS yang sebelum iini menjadi antara parti pendukung kejayaan himpunan BERSIH sebelum ini memutuskan untuk melarang semua ahlinya daripada menyertai perhimpunan BERSIH 5 kali ini. Dengan pemulauan PAS ini, BERSIH dilihat agak terdesak meramaikan peserta mereka walaupun gerakan ini disokong oleh PKR, DAP dan PAN.
Sebelum ini, PAS dilihat antara parti yang menyumbang peserta paling ramai dalam setiap perhimpunan yang diadakan oleh pembangkang. Sebagai contoh, lihat sahaja siri demo BERSIH 1 hingga 4, Bantah GST dan demo #Tangkap Najib. Kesemuanya dihadiri oleh ribuan ahli PAS yang dilihat berjaya meramaikan peserta setiap kali demo seumpama ini diadakan.
Namun, sejak PAS memilih untuk tidak lagi bersekongkol dengan Pakatan Harapan, dua demo yang dianjurkan pembangkang sebelum ini dilihat cukup hambar dan dihadiri kira-kira tidak sampai 2 ribu orang. Ditambah pula dengan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan lagi meletakkan PAS sebagai hamba Pakatan Harapan, BERSIH 5 kini diancam kegagalan secara total.
Hal ini mudah untuk disimpulkan bagaimana beberapa pemimpin pembangkang terutamanya dari Parti Amanah Negara (PAN) cuba untuk memainkan pelbagai sentimen bagi menarik PAS kedalam demo ini. Sebagai contoh, Datuk Husam Musa yang cuba mengaitkan kebenaran Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk ahli PAS menyertai perhimpunan ini.
Kenyataan ini pantas diselar oleh anak Allahyarham, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyifatkan, mereka yang masih cuba mengaitkan kebenaran Allahyarham pada satu ketika dahulu sebagai penyembah kubur dan tidak berada dalam keadaan semasa hari ini.
Terbaru, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula mencabar PAS untuk turun berdemo dalam BERSIH 5, jika PAS masih kekal komited untuk menjadi pembangkang. Katanya, ini penting untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PAS benar-benar serius menentang kerajaan dan penyertaan mereka dalam BERSIH menjadikan PAS tetap setia kepada pembangkang.
Memang agak melucukan apabila melihat reaksi PAN dalam hal ini. Mereka di lihat cukup terdesak mengheret PAS dalam BERSIH 5 sedangkan sebelum ini, PAN sentiasa cuba mahu menjatuhkan PAS serta memperolok-olokkan PAS dalam kancah politik negara.
Mungkin kedua-dua pemimpin PAN ini tidak membaca ulasan yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS yang baru, Tuan Haji Hashim Jasin yang tegas menolak sebarang demo yang merugikan negara. Malah beliau turut senada dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan lagi melihat PAS menjadi boneka pembangkang dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan.
Kini, baik BERSIH mahupun pembangkang, mereka benar-benar terdesak untuk mencari seberapa ramai peserta untuk menyertai demo mereka. Andai mereka gagal mengumpulkan peserta yang ramai pada 19 November ini dan ditambah pula dengan tentangan hebat Gerakan Baju Merah, bolehlah dianggap BERSIH 5 kali ini sebagai perhimpunan yang gagal dan mungkin menjadi kubur terakhir BERSIH di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment