Sebanyak 18,082 premis diperiksa anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sepanjang 15 hari Operasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (Ops COSS) dijalankan di seluruh negara sejak 21 Oktober lalu hingga kelmarin.
Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, pemeriksaan dijalankan di premis berkenaan berjaya mengesan peniaga yang melanggar peraturan terutama membabitkan kesalahan menyorok bahan kawalan itu dengan rampasan 42.3 tan minyak masak bernilai RM114,274.
“Dalam pemeriksaan dijalankan itu, kami menerima 19 kes pelbagai kesalahan termasuk menyorok minyak masak, menjual tanpa lesen, buku rekod tidak diselenggara, memiliki barang kawalan dan melanggar arahan.
“Malah, lima kes sudah dituduh di mahkamah membabitkan kesalahan menyorok minyak masak di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Bandar Utama, di sini semalam.
Pemeriksaan dijalankan KPDNKK Cawangan Petaling Jaya itu turut membabitkan tiga lokasi lain iaitu gudang borong masing-masing di Kampung Medan dan Jalan Klang Lama serta sebuah pasar raya di Kelana Jaya, di sini.
Mohd Roslan berkata, pihaknya menerima 211 aduan daripada pengguna di seluruh negara selepas pengumuman dibuat kerajaan untuk menarik subsidi terhadap bahan kawalan berkenaan berkuat kuasa 1 November lalu.
Berdasarkan pemeriksaan di empat lokasi itu mendapati bekalan minyak masak mencukupi dan peniaga mengikuti peraturan mengeluarkan arahan mengehadkan pembelian bahan terkawal itu kepada dua unit bagi setiap transaksi.
“Kebanyakan aduan yang dibuat adalah mengenai kekurangan bekalan minyak masak dan harga melambung tinggi. Melihat kepada aduan ini, kami menjalankan pemeriksaan secara rutin bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang kawalan berkenaan,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat ‘pembelian panik’ kerana bekalan minyak masak mencukupi walaupun harga yang dikenakan berbeza berbanding sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment