Lima lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman ditahan dalam serbuan di Selangor dan negeri ini, kelmarin, selepas mereka didapati memeras ugut seorang ahli perniagaan di Pulau Tikus, 25 Oktober lalu.
Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa yang berusia 53 tahun berada di parkir kereta sebuah pusat beli-belah sebelum didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman. Menurut sumber, suspek menunjukkan kad kuasa dan mendakwa mangsa dikehendaki kerana mempunyai rekod jenayah di Sarawak dan terus menariknya masuk ke dalam kereta.
“Mangsa digari dan dia dibawa mengelilingi kawasan bandar namun ketika menghampiri balai polis, mangsa meminta supaya suspek memberhentikan kereta. Bagaimanapun, suspek bertegas dan memberitahu mereka adalah polis Bukit Aman dan tidak perlu berhenti di mana-mana balai polis kerana akan mengganggu tugas mereka,” katanya.
Sumber berkata, ketika berada dalam kereta, suspek kemudian menawarkan kepada mangsa untuk membantunya dengan syarat dia menyerahkan wang berjumlah RM30,000 kepada mereka. “Mangsa pada mulanya berkeras dan enggan menyerahkan wang terbabit namun suspek terus memandu kereta menuju ke Kuala Lumpur dan memberitahu mereka akan membawa mangsa ke Bukit Aman.
“Bagaimanapun, ketika tiba di Kuala Kangsar, Perak, mangsa yang ketakutan akhirnya bersetuju untuk memberikan wang berjumlah RM20,000 kepada mereka dan meminta suspek berpatah balik,” katanya.
Menurutnya, mangsa memberitahu wang terbabit disimpan dalam pejabatnya dan mereka kemudian berpatah balik ke Georgetown untuk mengambil wang berkenaan. “Sejurus tiba di pejabat, mangsa menyerahkan wang berkenaan seperti dijanjikan namun suspek meminta RM5,000 lagi sebagai tambahan.
“Mangsa bagaimanapun mendakwa dia hanya mempunyai RM20,000 dan suspek yang tidak berpuas hati memberitahu mereka akan datang kembali keesokkan hari untuk mengambil wang baki,” katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian terbabit dan susulan itu, sepasukan anggota polis melakukan risikan dan siasatan hingga membawa kepada penahanan semua suspek terbabit, kelmarin.
“Dua daripada suspek yang berusia 40-an ditahan di Serdang dan Ampang, Selangor dan siasatan mendapati mereka bekerja sebagai ejen tarik kereta serta ejen insurans. Tiga lagi suspek berusia 23 hingga 57 tahun pula ditahan di sekitar negeri ini dan mereka bekerja sebagai buruh, juruelektrik serta tukang paip,” katanya.
Menurutnya, polis merampas beberapa barang kes dan semua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 kanun sama. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridaltahrash Wahid mengesahkan penahanan semua suspek namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
0 comments:
Post a Comment