• PANAS

    Friday, 12 May 2017

    Aktif Dan Berprestasi


    Peluang menunggang uji dua model terbaru Kawasaki baru-baru ini memberi penulis gambaran dan pengalaman lebih dekat akan prestasi dan gaya motosikal super-naked dan dual-purpose mereka. 

    Model Z900 ABS dan Versys-X 250 dilancarkan Kawasaki Motors (Malaysia) pada awal tahun ini yang kemudian mengaturkan program khas bersama media yang turut dihadiri Pengarah dan Pengurus Besarnya, Datuk Jeffrey Lim untuk sesi penerangan, maklum balas dan pelepasan konvoi. 

    Dua kumpulan dibahagikan pada sebelah pagi dan petang untuk mencuba kedua-dua model ini dan penulis memulakan ujian dengan Z900 ABS Edisi Khas.

    Perjalanan pagi itu bermula dari Templer’s Park Country Resort di Rawang, Selangor menuju beberapa lebuh raya sekitar Lembah Klang dengan purata jarak 150 kilometer melalui jalan raya biasa sambil menempuh kesesakan sebelum meluncur laju di lebuh raya.

    Sebaik berada di atas motosikal berkuasa 948cc ini, ia sememangnya ringan dan lebih mudah dikendalikan berbanding siri model Z yang agresif menggabungkan reka bentuk Sugomi yang elegan.
    Kerangka ringan trellis bar dengan pemegang yang lebar dan rata memberikan posisi santai dengan pelana yang direndahkan supaya penunggang lebih selesa ketika memberhentikan motosikal, melintasi kesesakan jalan raya, membuat pusingan U serta melayan selekoh.

    Enjin empat lejang dengan empat silinder selari sejukan cecair DOHC ini bukan sahaja responsif, malah permainan klac sangat lancar menyalurkan kuasa dengan baik terutama ketika memecut dan memintas kenderaan di jalan raya dengan Teknologi Bantu Klac dan Slipper.

    Z900 dibina 18 kilogram lebih ringan dan kompak daripada model ‘adiknya’ Z800 dan Swingarm yang ringan dan kukuh penyumbang kepada berat keseluruhan bagi pengendalian yang lebih lincah. 

    Sistem Brek Anti Kunci (ABS) Nissin pada model ini berfungsi baik pada kelajuan tinggi menyebabkan ada kala penulis terlebih memecut dalam konvoi serta harus memperlahankan kelajuan dengan segera mujur Z900 dapat membrek dengan stabil.

    Dua varian Z900 ABS ditawarkan di negara ini pada harga bermula daripada RM49,158 untuk versi standard dan Z9000 ABS Edisi Khas pada harga bermula RM50,959 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

    Untuk Edisi Khas ia didatangkan dengan aksesori tambahan bernilai RM1,800 seperti grafik khas, penutup pelana tunggal, pelindung meter tinggi, penyambung DC, skrin radiator, sliders, gegelang penutup enjin, sliders gandar hadapan serta pelapik tangki dan lutut.

    Pada pandangan penulis, Kawasaki Z900 ABS menawarkan jentera berpretasi dan tunggangan posisi selesa pada pelbagai kelajuan selain mudah dikendalikan sesuai buat penunggang yang mahu menaik taraf motosikal mereka yang disasarkan untuk kelompok usia 28 hingga 60 tahun.

    Dalam sesi petang pula penulis menguji Kawasaki Versys-X 250, model dual-purpose yang menarik, sekali gus sangkaan ia model yang kekurangan kuasa adalah meleset sama sekali.

    Sebaik berada di atas jentera ini penulis dapat menguji kuasanya yang berterusan daripada enjin berkapsiti 249cc dilengkapi silinder berkembar selari yang sama dipasang pada model Ninja 250 dan Z250, namun ditala untuk kuasa dan daya kilas optimum.

    Roda jejari 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang dengan tayar pelbagai guna diuji sebaik memulakan perjalanan melalui Lebuhraya Latar sebelum ke Sungai Buaya di Rawang untuk cabaran laluan lasak di ladang kelapa sawit.

    Pelindung angin yang besar dan bergaya dengan reka bentuk kowl umpama model pengembaraan premium memberikan keselesaan buat penunggang daripada aliran angin kuat terutama ketika kelajuan tinggi. Tunggangan selesa di lebuh raya ialah sekitar 140km/j dan ada ketika penulis memulas pendikit mencecah sehingga 160km/j dan enjin masih mampu melonjakkan tenaga.

    Ketika melalui laluan lasak berbukit, melepasi jalan berbatu serta berair di Ladang Waterfall, Rawang, Versys-X 250 mengharunginya dengan baik malah daya kilasnya memberikan kuasa responsif mengikut keperluan penunggang dengan kawalan klac gear hasil sistem yang diilhamkan daripada gaya perlumbaan.

    Casis ringan dengan suspensi long-travel memberikan kawalan sporty serta kendalian pantas sama ada untuk tujuan tunggangan jarak jauh atau laluan off-road termasuk pelana belakang luas sesuai membawa pembonceng dengan selesa atau pelantar untuk dipasang kotak simpanan (opsyen) bagi gaya dual-purpose sebenar.

    Penggunaan bahan api juga menjimatkan dengan 17 liter mampu bergerak lebih 400km termasuk dilengkapi dua injap pendikit dikawal penunggang dan ECU bagi fungsi kecekapan pembakaran dan kuasa ditingkatkan.

    Meter pelbagai fungsi skrin LCD memudahkan penulis melihat kelajuan, tahap bahan api dan kedudukan gear yang kebiasaannya hanya terdapat pada motosikal berkapasiti lebih besar. Kawasaki Versys-X 250 dijual pada harga RM23,789 (atas jalan tanpa insurans).

    Pada pandangan penulis ia sebuah model yang sesuai buat mereka yang aktif serta mahukan jentera untuk tunggangan harian dan aktiviti hujung minggu dengan sasaran golongan pada usia 25 hingga 40 tahun.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Aktif Dan Berprestasi Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top