My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 3 May 2017

    Empat Pasukan Terima Padah



    GARA-GARA gagal melunaskan tunggakan gaji pemain serta ingkar arahan yang dikeluarkan pengendali Liga Malaysia (Liga M), Football Malaysia Limited Liability Pertnership (FMLLP), empat pasukan, Kelantan, T-Team (Liga Super) serta skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perlis telah dikenakan pemotongan 6 mata berkuat kuasa serta-merta. 

    Perkara tersebut disahkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam (gambar kecil) semalam. Menurut Kevin, pemotongan 6 mata tersebut ekoran kegagalan empat pasukan berkenaan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga yang berakhir pada Disember 2016.

    “Dua pasukan Liga Premier, Perlis dan ATM turut menerima nasib yang sama setelah gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” jelas Kevin pada sidang akhbar pengumuman hukuman berkenaan di Damansara, Selangor semalam.

    Menurutnya, FMLLP telah menghantar surat amaran pertama pada 27 Januari lepas serta menghubungi pasukan berkenaan melalui telefon sebagai peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran tersebut.

    Katanya lagi, pada 7 Mac lalu, surat peringatan kedua telah dihantar dan FMLLP sekali lagi menghubungi pasukan berkenaan melalui telefon untuk memberi peringatan bagi melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) sebelum 31 Mac. 

    “Mereka harus memuat naik surat atau resit selesai bayaran/tunggakan gaji; surat selesai bayaran/tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja; surat selesai bayaran/tunggakan Perkeso serta surat selesai bayaran/tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri ke SPMB untuk melengkapkan pendaftaran pasukan.

    “Dokumen-dokumen tersebut untuk bayaran/tunggakan daripada tahun-tahun sebelum 2017,” jelas Kevin lagi. Dalam pada itu, Kevin menjelaskan jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum 15 Mei ini, pasukan berkenaan akan dilarang mendaftar pemain baharu semasa jendela perpindahan pemain dibuka, sehingga perkara itu diselesaikan sepenuhnya.

    Beliau berkata, pasukan terbabit boleh mendaftar pemain baharu jika mereka memperoleh pendapatan hasil daripada pengurangan jumlah pemain sedia ada dalam pasukan.

    “Ia bermaksud jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah diperoleh hasil daripada transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah dijimatkan hasil daripada pengurangan jumlah pemain keseluruhan,” katanya.

    Menurutnya, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 pada 31 Oktober depan, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen yang mana pasukan tersebut selayaknya bertanding untuk musim 2018.

    “Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018.  Tindakan-tindakan berkenaan boleh diambil oleh FMLLP melalui peruntukan kuasa yang sedia ada di bawah Perkara 43, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017,” katanya.

    Ekoran pemotongan 6 mata tersebut, Kelantan yang kini menghuni tangga kelima Liga Super dengan 16 mata selepas 11 perlawanan bakal turun ke kedudukan ketujuh liga dengan 10 mata manakala T-Team yang meraih 16 mata akan berada di tangga kesembilan, juga dengan 10 mata.

    ATM yang menghuni kedudukan kesembilan Liga Premier dengan 10 mata bakal menghuni tangga kedua tercorot dengan 4 mata manakala Perlis akan kehilangan semua 6 mata yang mereka peroleh setakat ini selepas pemotongan tersebut, sekali gus kekal pada kedudukan tercorot.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Empat Pasukan Terima Padah Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top