My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 3 May 2017

    AS Hampir Cetus Perang Nuklear


    Korea Utara semalam menuduh Amerika Syarikat (AS) hampir mencetuskan perang nuklear selepas dua pesawat pengebom strategik kuasa besar itu menyertai latihan perang bersama tentera udara Korea Selatan dan Jepun. 

    Pyongyang berkata, dua pesawat pengebom B-1B itu mengadakan “latihan menggugurkan bom nuklear ke atas objek utama” dalam wilayahnya ketika Presiden Donald Trump dan “barisan pemimpin AS yang menggilakan perang” mahu melancarkan serangan nuklear lebih awal ke atas Korea Utara.

    “Provokasi ketenteraan secara melulu ini mengakibatkan Semenanjung Korea semakin menghampiri perang nuklear,” demikian menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA semalam. Terdahulu, Tentera Udara AS menyatakan dalam satu kenya­taan bahawa dua pesawat pengebom itu terbang dari Guam kelmarin untuk menyertai latihan tentera tersebut.

    Dalam pada itu, Trump membuat pusingan U kelmarin apabila berkata, beliau terbuka untuk menemui pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sekiranya keadaan sesuai walaupun Pyongyang berkeras akan meneruskan ujian nuklearnya.

    “Sekiranya wajar untuk saya menemui beliau, saya berbesar hati untuk berbuat demikian,” kata Trump kepada saluran berita Bloomberg dalam komen yang menerima kritikan di Washington. White House kemudian me­n­yatakan bahawa Korea Utara perlu memenuhi beberapa syarat sebelum pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut boleh diadakan.

    “Jelas bahawa situasi sekarang tidak mengizinkan. Saya melihat pertemuan ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat,” kata jurucakap White House, Sean Spicer.

    Ketegangan di Semenanjung Korea memuncak sejak beberapa minggu lalu, antara lain disebabkan oleh kebimbangan bahawa Korea Utara akan me­lakukan ujian nuklear keenam­nya di sebalik tekanan oleh AS dan China.

    Korea Utara secara teknikal masih berperang dengan Korea Selatan berikutan Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata dan bukan perjanjian damai, manakala Pyongyang pula berulang kali mengancam untuk memusnahkan AS.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: AS Hampir Cetus Perang Nuklear Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top