Sebut saja nama Diablo, mungkin Gen Y yang berusia 15 tahun hingga 20 tahun pada masa ini kurang mengenali permainan video popular ini. Mana tidaknya, zaman kegemilangan francais ini sudah lama malap, kira-kira 17 tahun yang lalu. Namun, pada 2012 semua tanggapan itu berubah apabila Diablo 3 diperkenalkan.
Pengenalan kepada grafik memukau, kelas lebih fleksibel dan sistem permainan baru kembali membuatkan peminat veteran tidak ‘tidur malam’ melayan permainan ini. Tapi bukanlah itu isu yang ingin penulis bincangkan. Kita semua tahu Blizzard sememangnya meletakkan sepenuh harapan mereka untuk menjayakan francais ini.
Baru-baru ini, syarikat gergasi yang terkenal dengan World of Warcraft itu mengeluarkan kandungan terbaru kepada peminat.
Kandungan baru
Diberi nama Rise of the Necromancer, Blizzard berjaya menghidupkan kembali karakter Necromancer yang ganas dan licik dari Diablo 2 yang sememangnya diminati peminat. Bukan itu saja, peminat dilkejutkan pula dengan tambahan dua zon baru.
Shrouded Moors dan Temple of the First Born adalah dua zon tambahan yang menarik. Yang pertamanya lebih menyeramkan manakala yang kedua lebih brutal dan penuh kejutan. Ini membawa kembali nostalgia yang ditemui dalam Diablo 2 yang mana pemain perlu meneroka makam dan tokong dipenuhi makhluk jahat.
Bagaimanapun ia bukanlah bermaksud Blizzard menyambung jalan cerita dunia Diablo tapi lebih kepada menyediakan peluang kepada pemain meneroka lokasi baru selain mengumpul kelengkapan yang lagi kuat dan bermakna kepada mereka.
Challenge Rifts
Salah satu ciri menarik dalam ‘patch’ ini ialah Challenge Rift yang dibuka pada setiap minggu. Ia berlainan jika dibandingkan dengan Greater Rift. Pertamanya, mod ini membawa kelainan yang mana Blizzard akan memilih satu karakter yang berjaya menyelesaikan Greater Rift lalu membuat salinan mengenai kelengkapan, lokasi musuh dan lokasi objek yang ditempuhi mereka.
Dari situ, setiap pemain akan bermain sesi permainan sama dilalui oleh pemain sebelumnya (di Greater Rift tadi). Cabarannya terletak pada kecekapan pemain mengenali lokasi musuh dan menggunakan set kuasa terbaik untuk menyelesaikan tugasan itu dalam jangka masa yang singkat.
Necromancer
Sudah tentu kandungan paling ditunggu-tunggu pemain ialah kelas Necromancer itu sendiri. Dinilai dari keistimewaan watak itu yang mampu mengawal ‘undead’ dan menggunakan kuasa yang dimanipulasi elemen darah dan tulang, pastinya ia tidak mengecewakan. Dari segi visual, Blizzard menemui cara untuk membezakan reka bentuk watak ini dulu dan sekarang.
Baju perisainya dihiasi dengan tulang. Malah, kedua-dua karakter lelaki dan perempuan kelihatan bergaya dengan koleksi kelengkapan mereka. Set kuasa Necromancer juga tidak mengecewakan. Mereka boleh meletupkan mayat dan menjadikan zon itu bermandi darah tapi tidak terlalu keterlaluan sehingga mengganggu sesi permainan.
Lebih serupa dengan Witch Doctor, kelas Necromancer memfokuskan kepada keupayaan untuk membuatkan askar ‘undead’ membantu anda di medan pertarungan. Di samping itu, mereka berupaya untuk berlawan di jarak dekat dengan kuasa seperti Death Nova ataupun menggunakan senjata ikonik mereka iaitu Grim Scythe.
Dari segi harga, ia tidaklah terlalu mahal memandangkan anda akan menghabiskan masa yang lama untuk satu karakter ini. Pek yang berharga RM64 itu memberikan tambahan slot untuk karakter, haiwan peliharaan Golem, kepak daripada Crypt Guardian, potret serta ‘banner’ dan ‘sigil’. Pemain di platform PC mendapat dua slot tambahan untuk peti simpanan barang.
0 comments:
Post a Comment