My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 7 July 2017

    Gabungan Empat Cerita Khurafat


    Mencipta nama sebagai sutradara filem disegani ramai, siapa sangka Mamat Khalid masih berminat mencurahkan kepakarananya di kaca televisyen dengan menghasilkan karya menerusi pendekatan berbeza daripada apa yang pernah disaksikan penonton di layar lebar.

    Selepas Aku Bukan Buaya, Pindah Randah dan Rombongan Cik Kiah Kelana Jaya, pengarah prolifik Mamat Khalid tampil dengan naskhah baru berjudul Semerah Darah. “Apa yang dipaparkan di TV berbeza dengan apa yang pernah saya hasilkan dalam filem. Pindah Randah misalnya, saya bermain dengan ‘seni’ apabila pergerakannya agak perlahan.

    “Saya pencinta filem seni. Namun, saya tidak boleh ketengahkan konsep sebegini dalam filem. Nama pun arus perdana takkan nak buat filem seni? Tentu saja yang berunsurkan komersial akan menarik penonton ke panggung.

    “Memandangkan jiwa saya lebih terarah kepada karya seni maka idea dan konsepnya saya visualkan ke bentuk drama untuk tayangan di TV,” katanya.

    Bertemu Mamat di set penggambaran di Tanjung Malim, Perak, awal April lalu, pengarah terkenal itu memaklumkan Semerah Darah menggabungkan empat cerita yang memaparkan amalan khurafat iaitu ilmu teluh, santau angin, hijab terbuka dan ilmu guna-guna.

    “Saya mahu suntik kesedaran kepada penonton mengenai kesan buruk amalan khurafat. Ilmu teluh misalnya, saya mahu tunjukkan natijah individu yang mengamalkannya atas dasar busuk hati atau hasad dengki. Apabila ditujukan kepada individu tertentu, orang itu akan menderita. Pada masa sama, orang yang menghantar ilmu hitam itu juga boleh terlantar sakit akibat perbuatannya.

    “Pendek kata, saya mahu ingatkan penonton bahawa betapa seksanya hidup orang yang terkena ilmu hitam,” katanya. Barisan pelakon yang menjayakan telefilem ini majoritinya pernah membintangi filem arahan Mamat. Antaranya Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Rab Khalid, Amy Juliet, Nizam Mok R Hashim, Kuni dan Kamarul Haji Yusuf.

    Karya ini turut menyaksikan kerjasama sulung Mamat dengan beberapa penggiat seni iaitu Aziz M Osman, Esma Daniel, Imuda dan Jue Aziz. Mamat Khalid berkata, kecenderungannya mengekalkan wajah sama kerana selesa bekerja selain yakin dengan kemampuan pelakon pilihannya.

    “Sebahagian besarnya sudah biasa bekerja dengan saya. Sebagai pengarah, saya tahu keupayaan dan keikhlasan mereka ketika bekerja. Mereka tahu bagaimana mahu mencantikkan lagi karakter yang diberi tanpa perlu disuruh.

    “Saya puji bakat Jue Aziz yang pertama kali bekerja dengan saya. Dia berjaya menzahirkan watak mangsa santau angin dengan baik. Penghayatannya ketika penggambaran buat bulu roma saya dan kru lain meremang,” katanya.

    Pelakon baru, Fieza Jolie yang melakonkan watak mangsa ilmu teluh berkata, pengalaman bekerja dengan Mamat cukup bermakna buat dirinya. “Saya berterima kasih kepada Abang Mamat dan penerbit Azrin Ahmad Kadri kerana memberi peluang tampil sebagai peneraju kisah ilmu teluh. 

    “Saya tidak tahu apa itu ilmu teluh, tetapi berkat bantuan Abang Mamat, saya dapat menjiwai watak ini dengan baik. Banyak yang saya belajar sepanjang terbabit dalam projek ini. .

    “Detik paling mencabar adalah ketika disolek untuk mengubah penampilan watak saya yang penuh dengan kudis. Selain itu, babak meracau di tengah malam. Saya sendiri berasa seram dan kecut perut sepanjang penggambaran. Diharap telefilem ini menarik perhatian ramai penonton kerana banyak mesej diselitkan dalam empat cerita yang dipaparkan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gabungan Empat Cerita Khurafat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top