Jurulatih Manny Pacquiao, Freddie Roach menyarankan agar petinju legenda Asia itu menamatkan kariernya selepas ditewaskan oleh jaguh tinju tidak ternama dari Australia, Jeff Horn pada perlawanan kelmarin.
Dalam aksi penuh kontroversi tersebut, Horn berjaya merampas gelaran juara dunia kategori welterweight daripada Pacquiao selepas memperoleh markah yang lebih tinggi daripada tiga pengadil pertarungan dengan keputusan rasmi 117-111, 115-113 dan 115-113.
Susulan itu, Roach berharap petinju kelahiran Filipina tersebut mendengar nasihatnya untuk bersara dan melupakan terus dunia tinju selepas bergelumang hampir 22 tahun selain meraih lapan gelaran juara dunia.
“Saya akan berbincang dengan Manny (Pacquaio) selepas kami pulang ke Manila. Mungkin ini adalah pertarungan profesional terakhirnya atau kita lihat bagaimana keputusannya nanti,” kata Roach.
Perkara tersebut dipersetujui oleh legenda tinju antarabangsa, Jeff Fenech yang berharap agar Pacquaio bersara dengan penuh bermaruah. “Adalah satu keputusan yang sangat bodoh sekiranya Pacquaio dibenarkan turun bertarung di gelanggang tinju lagi. Dia sudah tidak perlu buktikan apa-apa dan hanya perlu bersara,” katanya.
Sementara itu, Pacquiao masih enggan memikirkan persaraan, malah mengakui tidak teragak-agak untuk menggunakan klausa yang terdapat dalam kontraknya bersama pihak penganjur iaitu mahu pertarungan tersebut diadakan semula. “Jika dia mahu pertarungan ini diadakan semula, saya tidak mempunyai masalah,” jelas Pacquiao.
0 comments:
Post a Comment