Malaysia Airline Berhad (MAB) tidak menolak kemungkinan untuk memberi tumpuan kepada penerbangan tanpa henti ke negara Eropah pada masa akan datang dalam usaha untuk terus mengukuhkan kedudukannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter Bellew berkata, berkaitan potensi syarikat penerbangan nasional itu untuk membuka laluan baru di Eropah, pihaknya akan berbuat demikian jika mendapat tawaran yang menarik.
Beliau berkata, struktur kos amat penting bagi laluan jarak jauh dan pihaknya hanya akan membuka laluan jarak jauh baru sekiranya mendapat struktur kos yang tepat untuk berbuat demikian. “Saya tidak mahu syarikat terpaksa berdepan masalah untuk tempoh tiga tahun atau tahun-tahun akan datang berikutan struktur kos yang tidak mampan bagi laluan jarak jauh.
“Justeru, perancangan yang baik perlu dilaksanakan sekiranya kami ingin mengambil keputusan untuk melaksanakannya namun tidak menolak kemungkinan untuk melakukannya.
“Malah, persaingan amat sengit kerana syarikat penerbangan seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways menawarkan kadar penerbangan tanpa henti yang lebih murah ke destinasi di Eropah berbanding Malaysia Airlines,” katanya.
Baru-baru ini, Malaysia Airlines menamatkan laluan antara Darwin dan Kuala Lumpur mulai 28 Julai, sebaliknya akan terus meningkatkan kekerapan penerbangan ke Adelaide dan Perth, Australia dan Auckland, New Zealand sebagai langkah mengoptimumkan operasi rangkaian penerbangannya.
Bellew berkata, bagi mengukuhkan kembali kehadiran syarikat itu, pihaknya juga akan meneroka lebih banyak laluan di Asia terutama China, Korea, Jepun dan India yang dilihat mampu menjana pulangan kepada kumpulan.
Menurutnya, pihaknya kini giat menambah laluan baru ke China dan setakat ini, perniagaan berjalan lancar di mana permintaan bagi penerbangan ke China begitu memberangsangkan. “Kami mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa China serta melihat potensi pelancongan yang tinggi dari China ke negara ini pada masa depan,” katanya.
Sepanjang tahun ini, MAB akan mengembangkan 11 laluan baru bermula dari China ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu manakala pada suku kedua akan menyaksikan tiga destinasi baru iaitu ke Wuhan, Fuzhou dan Nanjing yang bermula Jun atau Julai dengan perkhidmatan tambahan ke Chengdu dan Chongqing pada Oktober 2017.
Perkhidmatan dari Kota Kinabalu ke Tianjin pula disasarkan untuk dilancarkan pada suku ketiga tahun ini termasuk dua lagi perkhidmatan tambahan baru dari Pulau Pinang ke pasaran baru Cina.
0 comments:
Post a Comment