Sering kali kita terbaca di dada akhbar mengenai suami yang panas baran sehingga sanggup memukul dan mencederakan isterinya. Walaupun kesalahan isteri terlalu kecil namun disebabkan tidak dapat mengawal perasaan menyebabkan si suami sanggup menggunakan kekerasan untuk memuaskan hatinya.
Berdasarkan pendapat ramai panas baran juga turut berpunca daripada kisah silam pada masa lalu. Mungkin suami pernah melihat ayahnya memukul ibu lantas hal ini terbawa-bawa setelah mendirikan rumah tangga.
Namun daripada sudut yang lain pula, bukankah perasaan itu boleh dikawal? Mengapa perlu mengikut hawa nafsu sedangkan si suami boleh berfikir kesan daripada tindakan yang mereka lakukan.
Ia akan menggugat keharmonian rumah tangga. Selain itu emosi isteri akan terganggu. Bagi suami yang masih pada peringkat awal amarah ia boleh ditangani dengan bantuan isteri. Antara yang boleh dilakukan adalah:
1. Jangan berdebat
Elakkan daripada berdebat atau mengemukakan pandangan pada saat suami sedang marah atau beremosi. Sekiranya dilakukan tindakan anda mungkin sia-sia sahaja malah boleh mengundang padah. Akibatnya, si isteri boleh terikut-ikut menjadi ‘panas’ sehingga berlakunya pertelingkahan.
Jika berlarutan, keselamatan si isteri boleh terganggu dan rumah tangga juga akan terancam. Sebaiknya dalam situasi ini, anda perlu mengalah atau mengambil sikap tidak mempedulikannya dulu. Dengar apa yang dimarahi isteri anda, diam dan jangan melawan sehingga marah suami kembali ‘sejuk’ baru anda bersuara.
2. Ajak berbincang
Ajak dia berbicara untuk menyelesaikan masalah yang menjadi punca kemarahannya. Tetapi tunggu sehingga kemarahannya reda. Gunakan gaya bicara yang halus agar tenang emosinya dan bukannya dengan meninggi suara.
Mungkin anda boleh berbincang sambil mengurut-urut belakang suami selepas pulang kerja ataupun ketika menonton bersama. Paling penting, pilih masa dan mood yang baik dan tepat.
3. Elak menyindir suami
Kebiasaannya suami panas baran ataupun pemarah suka berterus-terang dan jujur mengenai apa yang mereka suka ataupun tidak. Oleh itu cara mereka mengungkapkan lebih cenderung kasar dan bernada marah.
Jadi elakkan diri daripada menyindir, berkias ataupun menunjukkan muka seperti berahsia sesuatu daripadanya kerana ia hanya akan membuatkan suami bertambah marah dengan anda. Sebagai isteri anda tidak mahu amarah suami berlarutan. Jadi, elak melakukannya.
4. Kritikan untuk perbaiki kelemahan
Jangan beranggapan pandangan suami sebagai satu kritikan kepada anda. Ambil sebagai satu cabaran untuk memperbaiki kelemahan diri. Biasalah dalam rumah tangga pasti ada kesalahan yang anda lakukan. Jangan terlalu beremosi dengan kata-kata suami terhadap anda. Jika masih ada sayang, anda harus bersikap terbuka.
Namun ia bukan bermakna anda harus menanggung semua kesalahan kerana setiap orang ada kelemahan masing-masing. Anda boleh mengemukakan pendapat tetapi pada waktu yang sesuai.
5. Fahami latar belakang suami
Sifat pemarah ataupun panas baran juga sebenarnya boleh disebabkan oleh latar belakang dan asuhan dalam keluarga. Ia berkait rapat dengan cara seseorang itu dibesarkan. Jika dibesarkan dalam suasana yang penuh marah dan tengking, si suami mungkin menganggap sikapnya itu satu perkara normal tanpa menyedari ia boleh mengeruhkan keharmonian rumah tangga.
6. Rumah dalam keadaan selesa
Pastikan keadaan rumah dalam keadaan kemas dan menyenangkan agar suami berasa selesa dan tidak mudah marah-marah seperti berada dalam keluarganya dulu. Cuba selidik punca yang boleh membuatkannya gembira dan tenang. Selepas itu anda elakkan perkara yang boleh membuatkan dia marah.
7. Elak menggunakan perkataan kasar
Individu yang panas baran akan bertambah marah mereka sekiranya diucapkan dengan kata-kata kasar dan menyakitkan. Oleh itu sentiasa gunakan bahasa pertuturan yang lembut walaupun pada ketika itu suami anda sedang marah.
Mengajar mereka yang sedang marah bukanlah dengan menggunakan kemarahan sebaliknya dengan kata-kata dan perbuatan yang akan membuatkan suami terfikir mengapa perlu marah sedangkan boleh diadakan perbincangan untuk mengatasinya.
0 comments:
Post a Comment